KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Perayaan Thaipusam yang diraikan penganut Hindu hari ini disambut meriah dan penuh dengan semangat harmoni di seluruh negara.
Kemeriahan sambutan di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves yang merupakan antara lokasi utama perayaan itu menyaksikan ribuan penganut Hindu membanjiri kuil sejak awal pagi bagi menunaikan nazar masing-masing.
Mereka berarak dengan membawa Paal Kudam (belanga susu) dan kavadi selain terdapat penganut Hindu melakukan upacara memecahkan kelapa dan mencukur rambut sebagai penebus dosa.
Selain penganut Hindu, sambutan turut menarik kehadiran pengunjung terdiri daripada rakyat Malaysia dan pelancong bagi menyaksikan keunikan perayaan kedua terbesar bagi penganut Hindu selepas Deepavali.
Di PULAU PINANG, Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthapani di George Town, sesak dengan kehadiran penganut Hindu sejak awal pagi bagi melakukan upacara keagamaan dan menyempurnakan nazar.
M. Suresh, 38, dari Johor berkata dia memilih untuk "kembali" menyambut Thaipusam di Pulau Pinang selepas lima tahun kerana merasakan suasana perayaan di negeri itu berbeza berbanding di tempat lain.
“Saya pernah ke Ipoh (Perak) dan Kuala Lumpur (untuk menyambut Thaipusam) … di sana lebih kepada orang ramai mahu menunaikan hajat, tetapi di sini selain upacara keagamaan terdapat aktiviti lain lebih santai.
“Saya datang bersama isteri dan dua anak perempuan untuk berdoa supaya perniagaan diusahakan bertambah baik dan maju,” katanya.
Remaja berusia 17 tahun, R. Kishan yang kali pertama membawa kavadi berkata dirinya mahu menunaikan nazar dan berdoa untuk menjadi insan lebih baik supaya memperoleh keputusan cemerlang pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Di JOHOR, hampir 70,000 penganut agama Hindu berkumpul di Kuil Arulmigu Thendayuthapani Kovil sejak 10 malam tadi, bagi menyempurnakan acara keagamaan selain suasana turut meriah dengan alunan muzik tradisional dan pengunjung berpakaian berwarna-warni.
Pengerusi kuil N. Shanmugan, 68, berkata penganut Hindu juga mengambil peluang untuk berarak dari Kuil Arulmigu Rajamariaman Devasthanam di Jalan Ungku Puan Johor Bahru ke Kuil Arulmigu Thendayuthapani Kovil.
“Kira-kira 6,000 orang mengambil bahagian dalam perarakan membawa kavadi dan sebagainya dengan mengenakan pakaian berwarna kuning,” katanya.
Di NEGERI SEMBILAN, kira-kira 2,000 penganut Hindu hadir pada sambutan di Kuil Sri Bala Thandayuthapani, Seremban yang merupakan kuil tertua dan terbesar di negeri itu.
Pengunjung M. Selvi, 32, berkata dia hadir bersama ibunya sejak 7.30 pagi untuk menunaikan nazar bagi mendapatkan keberkatan selain mahu berdoa agar mereka sekeluarga sentiasa sihat dan diberikan kesenangan dalam setiap urusan.
Difahamkan, acara keagamaan di kuil itu melibatkan dua sesi, iaitu upacara sembahyang pada sebelah pagi manakala perarakan berlangsung malam ini selain turut terdapat pemberian makanan percuma kepada pengunjung.
Sementara itu, di SELANGOR, Kuil Sri Subramania Swami, Shah Alam dimeriahkan dengan kehadiran ramai penganut Hindu yang menyertai perarakan membawa belanga susu sebagai simbol pemurnian dan penghormatan kepada Dewa Murugan.
Pengerusi kuil itu Datuk N.S. Krishnan berkata kuil yang dibina pada 1914 itu dijangka dibanjiri lebih 5,000 penganut sepanjang perayaan dengan pelbagai aktiviti diadakan termasuk penyediaan Thaneer Panthal (gerai yang mengedarkan juadah) oleh persatuan, syarikat dan orang persendirian.
Di PERAK, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran serta Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri A. Sivanesan antara penganut Hindu yang berkunjung ke Kuil Sri Subramaniar di Gunung Cheroh bagi perayaan itu.
Pemangku Ketua Polis Perak DCP Zulkafli Sariaat berkata keadaan suasana di kuil di negeri itu sepanjang sambutan terkawal tanpa sebarang insiden tidak diingini selain larangan penjualan dan penggunaan minuman keras yang diumumkan sebelum ini dipatuhi di semua lokasi perarakan pedati.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad menerusi hantaran Facebook mengucapkan selamat menyambut Thaipusam dan berharap perayaan itu membawa keberkatan, kedamaian serta kebahagiaan kepada mereka yang menyambutnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial