AM

Tiada Kenaikan Harga LPG Petros Di Sarawak

13/02/2025 04:29 PM

KUCHING, 13 Feb (Bernama) -- Tiada kenaikan harga bagi gas petroleum cecair (LPG) Petroleum Sarawak Bhd (Petros) di seluruh negeri ini walaupun berlaku gangguan bekalan akibat banjir di Bintulu baru-baru ini.

Petros dalam kenyataan hari ini memaklumkan tanah runtuh akibat banjir di Kilang Pembotolan LPG Pusaka Integrated Resources di Bintulu menyebabkan operasi kilang dihentikan sementara demi keselamatan masyarakat sekitar.

Menurut kenyataan itu, bagi memastikan bekalan LPG berterusan untuk pelanggan di bahagian utara Sarawak, Petros telah mengaktifkan pelan kelangsungan perniagaan dengan mendapatkan sumber LPG dari  Kuching dan Teluk Sepanggar, di Sabah.

“Banjir telah menjejaskan operasi dan laluan pengangkutan utama menyebabkan kelewatan dalam penghantaran di beberapa bahagian di Sarawak. 

“Petros bekerjasama secara aktif dengan pihak berkuasa berkaitan, rakan logistik dan pengedar tempatan untuk mempercepatkan proses pengisian semula dan penghantaran, membolehkan situasi itu diselesaikan secepat dan selamat yang mungkin,” menurut kenyataan itu. 

Petros juga memberi jaminan kepada pelanggan bahawa jumlah silinder LPG yang ada adalah mencukupi untuk memenuhi permintaan di Sarawak. 

“Kami juga sedar terdapat maklumat tidak benar tersebar di media sosial mendakwa bahawa kos pengangkutan tambahan akan dikenakan kepada pelanggan. Kami ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa ia tidak betul kerana Petros akan menanggung semua kos pengangkutan untuk mengelakkan sebarang kenaikan harga,” menurut kenyataan itu. 

Bagi mengelakkan situasi ini dieksploitasi, pelanggan digalakkan agar melaporkan mana-mana pihak yang mengenakan caj tambahan dengan menghubungi bahagian Khidmat Pelanggan Petros di talian 1300-88-2122 untuk tindakan segera. 

“Kami juga menyeru orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu dan mengelak daripada melakukan pembelian panik, sebaliknya beli mengikut keperluan untuk memastikan pengagihan yang adil untuk semua,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan