KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Keputusan kerajaan untuk meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) bagi memudahkan dan membantu pelaksanaan perhimpunan aman di negara ini tepat pada masanya, yang membolehkan rakyat berhimpun untuk menyuarakan pandangan berkaitan isu-isu munasabah.
Bagaimanapun, Penasihat Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Salawati Mat Basir berkata kajian kebolehlaksanaan perlu dibuat bagi memastikan perhimpunan yang diadakan di negara ini terkawal dan tidak menggugat ketenteraman awam.
"Pemahaman rakyat nanti takut menyalah-ertikan maksud kebebasan itu kerana biasanya mereka akan minta kebebasan sepenuhnya.
"Dalam Perlembagaan Persekutuan ada hak untuk berdemonstrasi namun kita ada demokrasi terpimpin. Jadi kita tidak boleh membenarkan perhimpunan itu berlaku dengan keadaan sebebas-bebasnya," katanya ketika dihubungi oleh Bernama Radio dalam program Reaksi hari ini.
Beliau menyambut baik keputusan menetapkan penganjur untuk memaklumkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh lima hari sebelum perhimpunan, yang menurutnya memudahkan kawalan oleh pihak berkuasa.
Mengenai kesediaan rakyat untuk diberi lebih kebebasan berhimpun, Salawati berkata masyarakat di negara ini secara amnya tidak terdedah kepada budaya menunjuk perasaan seperti di negara lain namun mereka perlu dididik mengenai amalan demokrasi terpimpin.
"Kita bukan seperti negara lain yang hanya akan mencetuskan keganasan, merosakkan harta benda. Itu bukan Malaysia," katanya sambil menambah demonstrasi lazimnya hanya melibatkan kelompok tertentu sahaja.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat semalam memaklumkan kerajaan bersetuju meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) bagi memudahkan dan membantu pelaksanaan perhimpunan aman di negara ini.
Anwar berkata pindaan itu antara lain akan mengeluarkan Seksyen 11 Akta 736 melibatkan keperluan persetujuan pemunya atau pemilik lokasi perhimpunan yang menjadi pertikaian pada masa ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial