POLITIK

Propaganda Politik Guna AI Cabaran Besar PBB - Abang Johari

15/02/2025 04:48 PM

KUCHING, 15 Feb (Bernama) -- Propaganda politik menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) menjadi cabaran besar kepada kepimpinan masa depan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), kata Presiden parti Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak itu berkata bagi menghadapi cabaran berkenaan, ia menuntut kepimpinan parti untuk melengkapkan diri dengan kemahiran teknologi yang mampu bertindak menangani propaganda sedemikian.

“Saya takut AI digunakan oleh orang dalam politik untuk membuat propaganda. Manusia ini kadang-kadang disebabkan nafsu akan menggunakan apa-apa cara untuk mendapat tempat (kuasa).

“Peranan teknologi AI menjadi cabaran kerana masa depan semua kegiatan ekonomi dan sosial akan bergantung kesalinghubungan dan teknologi,“ katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung PBB ke-16 di sini hari ini.

Sebagai tulang belakang Gabungan Parti Sarawak (GPS), Abang Johari berkata kepimpinan masa depan PBB perlu bersatu untuk mengekalkan budaya memahami, saling menghormati dan mempercayai antara sesama komponen dalam mendepani cabaran dihadapi.

Beliau berkata budaya ini sudah lama terbentuk dalam PBB sejak penubuhannya pada 1973 dan dikongsikan dengan rakan-rakan partinya yang lain dalam GPS.

“Saya menjadi Premier, saya kongsi dengan semua rakan dalam Kabinet. Saya tidak buat keputusan seorang diri,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan