KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) -- Ibu bapa di Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak melepaskan peluang cuti hujung minggu untuk membuat persiapan akhir kelengkapan sekolah anak-anak menjelang pembukaan sesi persekolahan 2025 di tiga negeri itu esok.
Tinjauan Bernama di beberapa premis di tiga negeri itu mendapati masih ramai ibu bapa yang mengambil peluang hari terakhir cuti sekolah hari ini bagi melengkapkan persiapan persekolahan anak masing-masing, antaranya dengan memanfaatkan inisiatif Bantuan Awal Persekolahan (BAP).
Di TERENGGANU, Norhafizah Rejab, 37, berkata beliau dan suami membeli set pakaian tambahan untuk anak perempuan mereka yang memasuki Tahun Tiga dengan menggunakan BAP yang diberi, selain turut menyifatkan insentif itu sangat membantu ibu bapa.
“Alhamdulillah, RM150 itu cukup untuk beli satu set pakaian asas, tak perlu yang berjenama sangat, cukup untuk anak pakai setahun ini. Lagi pun, anak saya esok dilantik jadi Pengawas Perpustakaan, jadi memang kena beli baharu semua,” katanya ketika ditemui di sebuah kedai pakaian di Kuala Terengganu, di sini.
Sementara itu, penyelia kanan sebuah kedai pakaian yang terlibat dengan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) sempena Back To School Muhammad Hamzah Alias berkata bilangan pelanggan meningkat ketika program itu berlangsung pada 31 Jan dan 1 Feb lepas.
“Item-item tertentu yang kita serahkan kepada KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) untuk terima subsidi bagi PJRM banyak yang dibeli oleh ibu bapa pada tarikh itu, antaranya uniform sekolah rendah, seluar sekolah menengah dan seluar sukan.
“Kami ada tanda (tagging) dan staf pun ada maklumkan mengenai PJRM kepada pelanggan jadi ibu bapa ketika itu ada pilihan untuk barangan yang lebih murah,” katanya.
Di KEDAH pula, bapa kepada tiga anak Md Irwan Effendy Muhammad Ariffin, 38, berkata beliau terpaksa memilih untuk membuat persiapan sekolah anak pada minggu terakhir ini kerana kekangan kerja sebagai peniaga.
“Dua anak saya sudah lepas sekolah menengah, hanya seorang anak lelaki berusia lapan tahun yang masih bersekolah. Apa yang boleh digunakan dari tahun lepas kami gunakan dan apa yang perlu diganti baru kami beli.
“Alhamdulillah walaupun saat akhir, masih banyak pilihan saiz untuk pakaian untuk anak," katanya yang membelanjakan kira-kira RM300 untuk membeli keperluan sekolah anaknya termasuk pakaian serta alat tulis.
Sementara itu, ibu kepada lima, anak Nur Atikah Abdul Majid, 38, berkata beliau telah melengkapkan persiapan persekolahan sejak awal cuti sekolah bermula dan hari ini hanya membawa anak-anaknya untuk gunting rambut.
“Saya ada dua anak lelaki di sekolah menengah dan dua anak lelaki di sekolah rendah. Memang tiap-tiap tahun saya beli awal. Untuk tahun ini, saya letak bajet dalam RM100 untuk seorang anak. Selebihnya guna kelengkapan yang masih elok. Hari ini saya bawa anak-anak menggunting rambut,” katanya.
Sementara itu, di KELANTAN, tinjauan Bernama di beberapa premis menjual pakaian seragam sekolah sekitar Kota Bharu kelihatan lengang berikutan ibu bapa telah membuat pembelian awal bagi sesi persekolahan esok.
Seorang suri rumah, Mazira Ismail, 42, berkata banyak keperluan sekolah tiga anaknya telah diselesaikan pada awal cuti akhir tahun lepas dan minggu ini beliau cuma perlu membeli beberapa keperluan lain termasuk alat tulis.
"Saya memang beli awal kerana anak-anak perlu memakai uniform sekolah pada hari pendaftaran dan tidak mahu sesak dengan orang ramai yang beli pada saat akhir sebab risau kalau saiz pakaian yang sesuai untuk anak saya habis," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial