AM

Simposium ASEAN-UK Bangunkan Rangka Kerja Kelestarian Ekonomi Kreatif

20/02/2025 03:32 PM

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Simposium ASEAN-UK mengenai Pembangunan Rangka Kerja Kelestarian Ekonomi Kreatif ASEAN menjadi platform utama untuk memajukan industri budaya dan kreatif di rantau ini, di samping menggalakkan pembangunan mampan dalam Ekonomi Kreatif ASEAN.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akhbar Khan berkata simposium itu bermatlamat membangunkan rangka kerja yang menggariskan visi bersama dan hala tuju strategik dalam memajukan Ekonomi Kreatif ASEAN.

Beliau berkata ia juga menyediakan platform untuk perkongsian pengetahuan dan amalan terbaik antara ASEAN dan United Kingdom (UK) dalam bidang ekonomi kreatif, dengan pembuat dasar dan pihak berkepentingan dapat meneroka peluang baharu serta mengukuhkan kerjasama.

“Menerusi dasar dan pelaburan yang tepat, ASEAN mampu menjadi peneraju global dalam ekonomi kreatif. Warisan bersama dan kepelbagaian budaya yang kaya adalah aset terbesar kita, dan dengan bekerjasama, kita boleh memberikan impak yang lebih besar di persada dunia,” katanya.

Khairul Firdaus berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran simposium berkenaan yang menghimpunkan lebih 100 peserta terdiri daripada pembuat dasar dalam kalangan negara ASEAN, ahli akademik dan pengamal industri yang terlibat dalam perbincangan berkaitan industri budaya dan kreatif dalam ekonomi kreatif serantau.

Rangka Kerja Kelestarian Ekonomi Kreatif ASEAN akan menjadi satu daripada pencapaian penting yang akan diterima oleh pemimpin ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini.

Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn dalam ucapan beliau menzahirkan keyakinan bahawa rangka kerja itu akan bertindak sebagai panduan utama untuk memacu kerjasama merentas sektor dalam mencapai hasil yang memberi impak dari segi sosial, budaya, ekonomi, dan alam sekitar dalam memajukan Ekonomi Kreatif ASEAN.

Beliau turut memuji peranan simposium berkenaan dalam menghimpunkan pegawai utama dari badan sektoral ASEAN dan rakan-rakan dari UK untuk membangunkan rangka kerja terbabit.

Duta Besar UK untuk ASEAN Sarah Tiffin berkata perkongsian kepakaran dan kerjasama dalam rangka kerja terbabit bukan sahaja akan memperkukuh industri kreatif ASEAN, tetapi juga membina masa depan dengan kreativiti menjadi teras kepada pertumbuhan yang inklusif.

“UK berbangga untuk menyokong usaha ASEAN dalam membangunkan sektor kreatif yang kukuh dan lestari. Kreativiti dan inovasi merupakan teras kepada strategi perindustrian UK, yang memacu pertumbuhan ekonomi, inovasi digital dan pertukaran budaya.

"Menerusi kerjasama ini, kami meletakkan asas untuk mengukuhkan hubungan budaya, perniagaan inovatif, dan ekonomi serantau yang berkembang pesat, yang akan memanfaatkan generasi akan datang," katanya.

Pengarah Asia Tenggara di British Council, Summer Xia berkata simposium ASEAN-UK menandakan langkah penting ke arah merealisasikan visi bersama untuk ekonomi kreatif yang maju, inovatif, dan mampan.

"Menerusi program ASEAN-UK Advancing Creative Economy, kami mempererat hubungan, merangsang idea-idea baharu, dan merangka dasar yang memperkasakan industri kreatif untuk berkembang. Sejak acara pelancaran kami di Jakarta tahun lepas hingga perhimpunan ini di Kuala Lumpur, momentum kerjasama UK-ASEAN yang semakin berkembang jelas terlihat.

“Pelancaran Arts and Technologies in ASEAN: Interconnected Parts di simposium ini mengukuhkan komitmen British Council untuk memartabatkan kreativiti sebagai daya penggerak untuk kemajuan, penyertaan, dan pertumbuhan ekonomi," katanya.

Bertemakan ASEAN Creative Economy: From Ideas to Impact, simposium ini merupakan satu pencapaian penting dalam usaha berterusan bagi menggalakkan kerjasama yang lebih erat antara negara anggota ASEAN dan UK dalam membentuk ekonomi kreatif yang kukuh, inklusif, dan mampan.

Program dua hari itu menampilkan perbincangan panel daripada pakar ASEAN dan UK, selain sesi bengkel berkaitan hasil budaya, ekonomi, alam sekitar, dan sosial yang ingin dicapai dalam pembangunan Ekonomi Kreatif ASEAN. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan