AM

164,000 Kelapa Tua Dibawa Masuk Penuhi Permintaan Menjelang Ramadan, Aidilfitri

21/02/2025 08:28 PM

PUTRAJAYA, 21 Feb (Bernama) -- Sebanyak 164,000 biji kelapa tua dibawa masuk dari Sabah dan Kepulauan Palembang bagi memastikan bekalan itu mencukupi menjelang bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri. 

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Isham Ishak berkata angka itu merangkumi 82,000 kelapa yang tiba dari Sabah bulan ini, manakala 82,000 lagi akan dibawa masuk dari Kepulauan Palembang pada Mac depan.

"Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sekarang ini lebih agresif mengaktifkan pusat-pusat pengumpulan FAMA di seluruh negara untuk mengutip kelapa-kelapa tua supaya bekalan sentiasa ada," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Semarak Ramadan 1446H Pasar Tani Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Beliau berkata jumlah itu merangkumi 496 tan metrik kelapa tua sedia ada yang dikupas pada bulan ini melalui anak syarikat FAMA, FAMA Corporation.

Sementara itu, Program Semarak Ramadan itu diadakan bagi memperkukuh keterjaminan makanan dan memastikan bekalan hasil tani berkualiti dapat diperoleh pengguna dengan harga berpatutan sepanjang bulan Ramadan.

"Dengan lebih 222 lokasi di seluruh Malaysia, pasar tani memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan ekosistem pemasaran hasil tani dan memperluaskan akses pengguna terhadap produk pertanian segar dengan harga berpatutan," kata Isham.

FAMA dalam kenyataan memaklumkan sejak diperkenalkan pada tahun 1985, pasar tani telah berkembang sebagai platform utama bagi pengeluar dan usahawan tani memasarkan hasil mereka secara terus kepada pengguna.

Sempena ulang tahun ke-40 penubuhan pasar tani pada 31 Jan 2025, FAMA terus komited dalam memperluaskan jaringan pasar tani dengan sasaran pembukaan 10 lokasi baharu dan menaik taraf 47 lokasi sedia ada sepanjang tahun.

"KPKM dan FAMA berharap inisiatif seperti Program Semarak Ramadan ini dapat membantu meningkatkan pendapatan usahawan tani serta memberikan akses yang lebih luas kepada masyarakat untuk mendapatkan barangan keperluan harian dengan lebih mudah dan berpatutan," kata FAMA.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan