AM

Terima Pakaian Seragam, Tiga Beradik Syukur Kembali Ke Sekolah Dengan Bantuan MIC Pahang

24/02/2025 10:11 AM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Tiga beradik di Mentakab, Pahang yang tidak dapat hadir ke sekolah sejak pembukaan sesi persekolahan 2025/2026 minggu lepas kerana tidak memiliki pakaian seragam, mendapat perhatian MIC Pahang.

Tiga beradik perempuan berumur lima, 11 dan 13 tahun itu telah membeli pakaian seragam masing-masing semalam, hasil sumbangan MIC Pahang yang disampaikan Setiausaha Wanita MIC Kebangsaan Anita Kumari Abdullah.

Ketiga-tiga kanak-kanak berkenaan dibawa membeli pakaian seragam itu di kedai berhampiran di Mentakab oleh Anita Kumari yang juga Pegawai Khas kepada Menteri Besar Pahang, Setiausaha MIC Pahang Ismail Abdullah dan Ketua Cawangan MIC Mentakab Suresh S.Paramasivan.

“Bantuan disalurkan dengan kadar segera setelah menerima maklumat daripada orang awam. Kami mengambil tindakan untuk memastikan ketiga-tiga adik beradik ini dapat kembali ke sekolah,” kata Suresh ketika dihubungi Bernama, semalam.

Sebelum ini, N.Suryadarshini, 19, yang merupakan kakak kepada ketiga-tiga pelajar itu, meminta bantuan orang awam menerusi aplikasi Tik Tok agar dibelikan pakaian seragam untuk adik-adiknya.

Sementara itu, Suryadarshini yang bekerja di sebuah kedai jual motosikal, meluahkan rasa syukur dan terharu, kerana akhirnya ketiga-tiga adiknya dapat pergi ke sekolah seperti rakan-rakan lain pada hari ini setelah mendapat bantuan pihak MIC.

“Adik-adik saya sentiasa bertanya bila mereka dapat pergi ke sekolah seperti budak-budak lain. Saya berasa amat sedih kerana tidak dapat membelikan pakaian seragam untuk mereka.

“Seorang lagi adik lelaki saya yang berusia 18 tahun bekerja di sebuah kedai cuci kereta, manakala emak saya seorang suri rumah dan ayah saya sedang mencari kerja,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga tersebut, boleh menghubungi Suryadarshini melalui talian 010-6632912.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan