AM

MMM Langkah Penting Ke Arah Media Bebas, Bertanggungjawab - Wartawan Sabah

01/03/2025 11:36 AM

Oleh Fadzli Ramli

KOTA KINABALU, 1 Mac (Bernama) -- Penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) melalui kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) MMM 2024 di Dewan Rakyat Rabu lepas, merupakan satu langkah penting ke arah media yang bebas dan bersifat kawal selia kendiri di negara ini, demikian menurut pengamal media Sabah.

Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Datuk Muguntan Vanar berkata MMM bakal memberi manfaat kepada industri media kerana ia akan meningkatkan kepercayaan awam dengan adanya mekanisme untuk menangani aduan.

"Kami menganggap ia langkah ke arah media yang bebas dan kawal selia kendiri di negara ini. MMM akan membolehkan pengamal media beroperasi dengan lebih bebas, namun bertanggungjawab, selaras dengan etika dan prinsip kewartawanan," katanya kepada Bernama di sini.

Menyambut baik penubuhan MMM, Muguntan turut menggesa agar Sabah dan Sarawak diberikan perwakilan dalam majlis berkenaan, dengan menegaskan bahawa mempunyai satu wakil sahaja dari Borneo tidak mencukupi.

"Kami berharap Sabah dan Sarawak masing-masing mempunyai wakil dalam majlis itu dan bukan hanya seorang wakil dari negeri Borneo," katanya.

Pada 26 Feb, Dewan Rakyat meluluskan RUU MMM 2024, antara lain bertujuan menjamin kebebasan media dalam memastikan masyarakat mendapat maklumat sahih, berintegriti dan adil, serta ia diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 18 Ahli Parlimen.

Pengerusi Persatuan Pemberita Tawau Tan Chin Cheng turut menyambut baik kelulusan rang undang-undang itu, namun menekankan bahawa kebebasan dan ketelusan majlis berkenaan adalah penting untuk memastikan ia benar-benar berfungsi untuk kepentingan industri media, dan bukan sekadar menjadi mekanisme kawalan baharu.

"Ia berfungsi sebagai garis panduan untuk pengamal media agar lebih berhati-hati dalam menghasilkan kandungan berita. Penubuhan MMM menggalakkan wartawan mematuhi standard etika dan mengekalkan ketepatan dalam pelaporan sekali gus meningkatkan kualiti dan kredibiliti penyebaran berita.

"Bagi Sabah dan Sarawak, ia merupakan jaminan penting kepada pengamal media untuk menyampaikan maklumat berkualiti kepada masyarakat. MMM juga bertindak sebagai perantara komuniti dengan pengamal media, membolehkan orang ramai mengemukakan aduan mengenai laporan berita yang salah atau berpotensi memfitnah," katanya.

Tan berkata terdapat keperluan untuk memastikan wakil dari Sabah dan Sarawak benar-benar mewakili pengamal media di dua negeri itu serta menangani cabaran khusus yang dihadapi mereka.

Timbalan Pengerusi Persatuan Wartawan dan Pengamal Media Tawau (Pewarta) Tamrin Jamil berkata majlis berkenaan akan meningkatkan kredibiliti pengamal media serta menjadi panduan kepada mereka untuk lebih berwaspada dalam menghasilkan sesuatu berita.

"Bagi Sabah dan Sarawak, ia memberi jaminan kepada pengamal media dalam menyampaikan maklumat berkualiti kepada masyarakat," katanya dan mencadangkan supaya lebih ramai wakil dari Malaysia Timur dilantik untuk memastikan liputan yang lebih luas terhadap isu serantau.

Pengerusi Persatuan Media Sandakan (PEMASSA) James Leong Tshun Kian pula menyifatkan rang undang-undang itu sebagai pencapaian penting dalam usaha mengawal selia landskap media di Malaysia.

"Ia mencerminkan komitmen untuk memodenkan tadbir urus media sambil menyeimbangkan keperluan untuk ketelusan dan kebebasan," katanya.

Editor Jesselton Times Newmond Tibin turut menyokong sepenuhnya rang undang-undang berkenaan, dengan menyatakan bahawa penubuhan MMM ialah langkah penting dalam membina persekitaran media yang bebas dan bertanggungjawab dengan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan.

Newmond menegaskan bahawa majlis media harus beroperasi secara bebas, tanpa dipengaruhi kerajaan, entiti komersial atau tekanan luar.

"Dengan tumpuan terhadap standard etika, sistem pengendalian aduan, dan menggalakkan kemajuan profesional, MMM akan memberi kebebasan kepada wartawan dan petugas media untuk menjalankan tugas mereka sambil mengekalkan standard kewartawanan yang tinggi," katanya.

Sementara itu, wartawan veteran Joseph Bingkasan berkata undang-undang berkenaan bukan sahaja tepat pada masanya, tetapi juga sudah lama dinantikan kerana ia dapat membantu membangunkan landskap media Sabah dengan lebih baik.

"Undang-undang ini akan mengawal selia fungsi media, namun pada masa sama tetap memelihara kebebasan bersuara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," kata bekas ketua Jabatan Pengarang New Straits Times Sabah dan Sarawak itu.

Bingkisan turut menegaskan bahawa Sabah kini tidak mempunyai badan yang khusus untuk memantau hal ehwal media, kerana organisasi sedia ada lebih tertumpu kepada kebajikan ahli berbanding menangani isu industri secara menyeluruh.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan