AM

Majlis Ekonomi Bumiputera Pantau Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 - Ahmad Zahid

01/03/2025 03:30 PM

PUTRAJAYA, 1 Mac (Bernama) -- Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) akan menjalankan pemantauan menyeluruh Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) menerusi laporan berkala dan sistematik bagi memastikan pelaksanaannya membuahkan hasil.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Kementerian Ekonomi, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) pula bertindak sebagai sekretariat bersama bagi menjamin keberkesanan setiap inisiatif.

PuTERA35 yang dilancarkan pada 19 Ogos 2024 adalah satu kerangka tindakan holistik untuk memperkukuh ekonomi Bumiputera dalam tempoh 10 tahun akan datang. 

“Melalui pendekatan yang lebih tersusun dan berasaskan resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024, PuTERA35 akan menjadi pemacu utama dalam transformasi ekonomi Bumiputera. 

“Kejayaan pelan ini bakal mencorakkan masa depan negara yang lebih inklusif, mampan, dan berdaya saing,” katanya dalam kenyataan hari ini sempena genap setahun KEB 2024.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata antara matlamat utama PuTERA35 adalah membangunkan Bumiputera yang dinamik dan futuristik, berdaya tahan dalam mendepani cabaran semasa dan masa hadapan.

Matlamat lain adalah menetapkan sasaran yang lebih jelas dalam pengukuran tahap penyertaan, pemilikan, dan penguasaan ekonomi Bumiputera secara lebih bermakna 

Bagi mencapai objektif yang digariskan, beliau berkata PuTERA35 menetapkan beberapa sasaran utama bagi Bumiputera menjelang 2035, antaranya penyertaan dalam pekerjaan mahir meningkat kepada 70 peratus.

“Sasaran lain adalah pemilikan ekuiti individu dan agensi mandat mencapai 30 peratus dan penguasaan dalam ekuiti syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) mencapai 20 peratus.

“Turut disasarkan adalah 97 peratus graduan Bumiputera mendapat pekerjaan dan penghapusan kemiskinan tegar dalam kalangan Bumiputera,” katanya. 

Ahmad Zahid berkata kejayaan PuTERA35 bergantung kepada pelaksanaan strategi komprehensif yang berteraskan kepada tiga elemen utama iaitu penyertaan, pemilikan, dan penguasaan Bumiputera dalam ekonomi negara. 

“Penyertaan Bumiputera akan diperkukuhkan melalui peningkatan kemahiran dan pendidikan berkualiti tinggi, dengan memastikan golongan ini menguasai bidang berkemahiran tinggi serta teknologi terkini bagi bersaing di peringkat global.

“Pemilikan ekonomi pula akan dipertingkatkan dengan penyediaan pembiayaan perniagaan dan insentif pelaburan yang kondusif bagi membolehkan lebih banyak syarikat Bumiputera berkembang dengan kukuh dan mampan,” katanya,

Dalam aspek penguasaan ekonomi, beliau berkata usaha akan ditumpukan kepada pemerkasaan mobiliti sosial bagi memastikan akses kepada peluang pekerjaan berkualiti tinggi.

“Usaha turut ditumpukan untuk memperkukuh ekosistem ekonomi Bumiputera melalui dasar yang lebih proaktif serta sokongan berterusan daripada agensi berkaitan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan