AM

Istiadat Kawalan Kehormatan Utama Lambang Penghormatan Negara

01/03/2025 06:55 PM

Oleh Norhidayyu Zainal & Nur Syuhada Yusof

PUTRAJAYA, 1 Mac (Bernama) – Sebagai sebuah negara demokrasi, Malaysia menitikberatkan hubungan diplomatik dan kesopanan dalam menyambut ketibaan tetamu negara. Setiap kunjungan rasmi bukan sekadar acara protokol, tetapi juga simbol penghormatan dan persahabatan antara negara.

Antara elemen utama ialah istiadat Kawalan Kehormatan Utama (KKU) yang dikendalikan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), bertindak sebagai barisan hadapan dalam memberikan penghormatan kepada pemimpin atau delegasi asing.

Pegawai Memerintah Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) Kolonel Mohd Fuad Md Ghazali berkata istiadat KKU ialah tradisi penuh istiadat yang melambangkan penghormatan tertinggi kepada pemimpin negara, antaranya Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, ketua kerajaan asing serta tetamu kenamaan.

“Ia sesuatu yang unik dan istimewa kerana mempamerkan keseragaman, tahap disiplin yang tinggi serta ketegasan anggota ATM sekali gus mencerminkan kesiapsiagaan ATM dalam memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

“Istiadat ini memperlihatkan tradisi ketenteraan dalam memberikan penghormatan, mencerminkan keunggulan serta profesionalisme ATM, dan menjadi simbol penghormatan negara terhadap hubungan diplomasi serta persahabatan antarabangsa,” katanya kepada Bernama selepas raptai sambutan rasmi Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan di Kompleks Perdana Putra di sini, baru-baru ini.

Mohd Fuad berkata istiadat KKU diadakan dalam pelbagai acara penting seperti Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, majlis sambutan rasmi ketua negara asing serta upacara pertabalan dan perasmian Parlimen.

“Upacara ini biasanya bermula dengan ketibaan tetamu kehormat, diikuti oleh persembahan kawalan kehormatan yang terdiri daripada pegawai dan anggota tentera dalam formasi tertentu.

“Pemeriksaan perbarisan akan dilaksanakan oleh pemimpin yang diraikan sebelum diakhiri dengan tabik hormat, diiringi lagu kebangsaan dan Tembakan Kehormatan Artileri sekiranya upacara itu melibatkan ketua negara,” katanya.

Beliau berkata KKU bukan sahaja bergantung kepada kekemasan dan keseragaman kawad semata-mata, tetapi juga elemen budaya yang diketengahkan dalam setiap persembahan.

“Pemakaian seragam istiadat yang lengkap, berbaju Melayu serta bersongkok dan bersampin, mencerminkan keindahan warisan Melayu manakala pergerakan kawad yang tersusun menonjolkan tahap disiplin tinggi anggotanya.

“Pemeriksaan rapi terhadap pakaian dan aksesori memastikan kesempurnaan penampilan manakala pengibaran Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Panji-Panji Rejimen melambangkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada institusi diraja dan negara,” katanya.

Mohd Fuad berkata KKU turut memainkan peranan yang penting dalam memantapkan imej negara menerusi profesionalisme, disiplin, dan keunggulan ATM sekali gus memperkukuh reputasi negara di peringkat antarabangsa.

“Antara kejayaan pasukan KKU, termasuk penyertaan dalam perbarisan bersama pasukan negara Komanwel sempena Istiadat Pertabalan Raja Britain, Raja Charles III, di London, United Kingdom pada 2023.

“Sejarah juga mencatatkan pencapaian luar biasa menyaksikan pasukan KKU telah diundang melaksanakan Tugasan Awam London, termasuk upacara ‘Changing of the Guard’ di Istana Buckingham dan Istana Windsor pada 2008,” katanya.

Beliau berkata KKU melibatkan tiga atau empat pegawai serta 103 anggota lain-lain pangkat, selain membawa Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Panji-Panji Rejimen dari pasukan 1 RAMD mengikut jenis istiadat yang dilaksanakan.

Bagaimanapun, di sebalik keindahan formasi dan kesempurnaan persembahan pergerakan kawad, wujud cabaran besar yang perlu dihadapi.

“Setiap istiadat KKU mengambil masa antara 30 hingga 35 minit, bermula daripada penempatan anggota, pemeriksaan sehingga perbarisan keluar. Namun, semuanya tertakluk pada atur cara majlis.

“Justeru, setiap anggota KKU perlu mengekalkan stamina dan memberi sepenuh tumpuan sepanjang upacara berlangsung, walau dalam apa jua keadaan cuaca. Ini kerana sebarang kesilapan kecil boleh mencacatkan keseluruhan persembahan dan mencalarkan imej negara.

“Setakat ini, tiada insiden besar yang menjejaskan mutu persembahan namun setiap anggota telah dilatih dengan kawad pembetulan dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Mohd Fuad yang berkhidmat lebih 30 tahun dalam ATM berkata persiapan bagi memastikan kelancaran istiadat melibatkan saringan ketat terhadap anggota berdasarkan kriteria fizikal dan tahap disiplin yang tinggi.

“Anggota perlu dipilih melalui proses saringan ketat dengan ketinggian antara 173 hingga 176 sentimeter (cm) serta nilai indeks jisim badan (BMI) antara 21 hingga 24. Selain itu, mereka perlu penampilan segak dan kemas.

“Setiap anggota ini juga perlu menjalani latihan intensif, antaranya berdiri tanpa gerak dengan mata memandang ke hadapan sekurang-kurangnya selama satu jam. Mereka juga memerlukan sekurang-kurangnya 10 hingga 15 sesi latihan sebelum dianggap layak untuk terlibat dalam istiadat kawad kehormatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan