KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 penting bagi mengembalikan kebebasan Parlimen dan memastikan keberkesanan institusi itu menjalankan fungsinya seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Selepas Akta Perkhidmatan Parlimen 1966 dimansuhkan pada 1992, RUU itu membuka lembaran baharu bagi memperkukuh lagi institusi Parlimen, sekali gus membuktikan agenda Kerajaan MADANI untuk melaksanakan reformasi institusi dengan pengasingan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman.
Sehubungan itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berharap kesemua 222 Ahli Parlimen menyokong dan meluluskan RUU itu kerana ia amat penting bagi memastikan pengurusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara dikendalikan sendiri anggota Perkhidmatan Parlimen tanpa campur tangan kuasa eksekutif.
Beliau berkata sejak akta itu dimansuhkan, Parlimen diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan terdapat menteri yang mengawasi atau menyelia pergerakan serta pentadbiran Parlimen.
“Apa yang berlaku ini nampak pelik sebab kita bercakap tentang demokrasi yang tiga entiti ini (eksekutif, legislatif dan kehakiman) harus secara jelas diasingkan...tapi tiba-tiba Parlimen itu sendiri diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan sudah tentu ia memberikan isyarat tidak tepat.
“Tapi dengan bacaan pertama ini akan menyaksikan minggu depan berlaku bacaan kedua dan insya-Allah kemudian kita minta sangat-sangat dan mengharapkan semua Ahli Parlimen, kerajaan dan juga pembangkang menyokong RUU ini supaya kita wujudkan balik independence of Parliament.
“Maksud independence of Parliament ini adalah Parlimen mempunyai dengan sendirinya kebebasan melaksanakan tugas-tugas seperti termaktub dalam Perlembagaan dan kita tidak lagi dianggap sebahagian daripada eksekutif,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen semalam.
Pada 24 Feb lepas, RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat yang antara lain bertujuan menubuhkan Perkhidmatan Parlimen yang menjadi suatu perkhidmatan berasingan daripada perkhidmatan awam.
Ia juga memperuntukkan penubuhan Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP) yang berfungsi antaranya melantik dan menentukan terma dan syarat pelantikan anggota Perkhidmatan Parlimen, mengawasi semua perkara kewangan berhubungan Perkhidmatan Parlimen dan membangunkan serta melaksanakan program dan latihan berkaitan Perkhidmatan Parlimen.
Menerusi RUU itu, kerajaan hendaklah mengadakan dana mencukupi bagi Perkhidmatan Parlimen setiap tahun untuk membolehkan Majlis Perkhidmatan Parlimen melaksanakan fungsinya.
Sementara itu, ketika menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di RTM hari ini, Johari berkata RUU berkenaan bakal memberi autonomi kepada MPP untuk mencadangkan pelantikan Setiausaha Dewan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong yang kini jawatan itu disandang penjawat awam.
Beliau berkata MPP juga bakal bertanggungjawab terhadap pengurusan kewangan termasuk dalam proses pengambilan petugas.
“Sebarang keputusan penting yang dibuat MPP perlu merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong untuk kelulusan bagi memastikan setiap perbelanjaan mengikut prosedur undang-undang.
“Misalnya kalau kerajaan mengumumkan dalam belanjawan untuk memberikan bonus satu bulan, kita (MPP) boleh berikan bonus dua bulan untuk kakitangan kita (kerana MPP urus sendiri kewangan),” katanya
Bacaan kali kedua RUU itu dijadual pada persidangan Dewan Rakyat minggu depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial