PUTRAJAYA, 1 Mac (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperluaskan aktiviti pemantauan makanan di hotel yang menyediakan bufet Ramadan, premis pembekal bahan mentah serta premis penyediaan ais bagi memastikan semua pihak terlibat mematuhi piawaian kebersihan dan keselamatan ditetapkan sepanjang bulan Ramadan ini.
KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan aktiviti itu tidak hanya pada bulan Ramadan, sebaliknya telah dijalankan sebelum ini yang meliputi pemeriksaan ke atas sumber bahan mentah, tempat penyediaan makanan dan peniaga yang dilesenkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Langkah ini diambil bagi memastikan kepatuhan terhadap standard keselamatan makanan yang ditetapkan termasuk di semua bazar Ramadan.
“Kementerian sentiasa komited dalam memastikan keselamatan makanan sepanjang Ramadan melalui pemantauan dan penguatkuasaan berterusan,” menurut kenyataan itu.
KKM turut mengingatkan peniaga tentang larangan penggunaan peralatan yang bukan bertujuan untuk penyimpanan atau penyediaan makanan.
Menurut kementerian itu, tindakan seperti menggunakan akuarium sebagai pengganti bekas air balang, tong sampah hitam untuk menyimpan bahan mentah atau peralatan lain yang tidak sesuai boleh menyebabkan pencemaran makanan serta meningkatkan risiko kesihatan kepada pengguna.
Sebagai langkah proaktif, KKM akan memperhebatkan kempen kesedaran melalui pendidikan kesihatan yang meluas menggunakan pelbagai platform komunikasi termasuk media sosial, televisyen dan radio.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial