AM

Longgarkan Pengeluaran KWSP Berlebihan Umpama 'Hukum' Pencarum Di Hari Tua - PM Anwar

04/03/2025 01:09 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Langkah membuka ruang secara luas untuk pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan simpanan mereka sebelum sampai tempohnya, tidak ubah seperti ‘menghukum’ pencarum apabila sudah beransur tua dan bersara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata sejak puluhan tahun lepas malah ketika beliau menjadi Menteri Kewangan sebelum ini pun, prinsip yang dipegang tidak ada kelonggaran pengeluaran berlebihan kerana KWSP adalah simpanan untuk hari tua.

“KWSP telah keluar kenyataan bahawa majoriti pencarum terutama dalam kalangan masyarakat Melayu punyai simpanan yang sangat kecil. Jadi membuka ruang itu akan menimbulkan masalah dalam beberapa tahun lagi tatkala mereka bersara.

“Adakalanya beberapa pengecualian diberikan dan kelonggaran, banyak kes rayuan khusus diberi pertimbangan khas terutama dalam keadaan keuzuran dan sebagainya.

“Jadi kerajaan kena melakukan kesimbangan ini di antara menyelesaikan masalah mendesak segera atau menghukum mereka, mendera dalam keadaan mereka tiada keupayaan lain,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) sama ada kerajaan mahu mempertimbangkan pengeluaran khas KWSP kepada kumpulan pencarum yang memerlukan, seperti kehilangan pekerjaan bagi meneruskan kehidupan.

Bagaimanapun, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau percaya KWSP boleh memberikan pertimbangan sewajarnya bagi kes-kes mendesak, walaupun ia tidak mengikut peraturan KWSP sedia ada.

Menjawab soalan asal Chiew Choon Man (PH-Miri) berhubung caruman KWSP untuk bukan warganegara yang dilihat membebankan majikan dan mengalih perhatian KWSP daripada ditumpukan khususnya kepada simpanan persaraan warganegara, Anwar berkata langkah itu tidak akan mengurangkan perhatian KWSP kepada rakyat tempatan.

Beliau berkata ketika ini kerajaan telah memperkenalkan banyak inisiatif seperti caruman sukarela pada  2024 untuk yang bekerja sendiri dengan sebanyak 1.2 juta ahli telah membuat caruman sukarela.

“Kita ada i-Saraan dan i-Suri untuk menjaga sektor informal, terutamanya isteri-isteri yang menjadi suri rumah tangga. Jadi insentif kerajaan itu sudah mencecah RM4.16 juta,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata caruman minimum dua peratus yang dikenakan kepada pekerja bukan warganegara juga disifatkan tidak membebankan, malah memberi peluang kepada kerajaan keseluruhannya mendaftar jumlah pekerja asing.

“Kita juga terikat dengan piawaian antarabangsa - Artikel 68 Konvensyen 102 International Labour Organisation (ILO). Sebab itu kalau kita lihat, hampir 70 negara menggunakan kaedah caruman, walaupun kebanyakan negara meletakkan caruman yang lebih tinggi,” kata beliau.

Anwar berkata KWSP dan Kementerian Kewangan juga mengadakan libat urus dengan semua syarikat besar dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi membincangkan caruman mandatori untuk pekerja asing.

Menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) berhubung isu sama, beliau berkata caruman KWSP ke atas pekerja asing antara lain bertujuan mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing dan memberi ruang kepada pekerja tempatan untuk mengisi peluang pekerjaan.

Perdana Menteri  berkata langkah itu juga menggalakkan pekerja asing untuk pulang ke negara mereka selepas tamat tempoh berkhidmat di negara ini, memandangkan kerajaan akan mengenakan syarat untuk mereka menyatakan rekod meninggalkan negara ini sebelum boleh mengeluarkan caruman mereka.

“Oleh kerana kita mula mengekang kemasukan pekerja asing maka kita akan kenakan caruman ini dan caruman ini juga akan menentukan rekod serta tarikan supaya bila pulang dia tahu dia ada wang.

“Jika mereka terpaksa diambil dalam keadaan sekarang biarlah mereka dikenakan kaedah, sistem dan peraturan sama dengan pekerja tempatan, termasuk caruman KWSP walaupun (kadarnya) minimum,” kata Perdana Menteri.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan