AM

MYNIC Rangka Inisiatif Perluas Penggunaan Domain .MY

04/03/2025 03:46 PM

CYBERJAYA, 4 Mac (Bernama) -- MYNIC Bhd (MYNIC), agensi di bawah Kementerian Digital sedang merangka lebih banyak inisiatif dan program untuk memperluaskan penggunaan nama domain .MY di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata ia merupakan satu langkah positif yang selari dengan usaha kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebagai hab digital yang unggul di rantau ini, selain memperkasakan ekonomi digital negara.

“Pendigitalan bukan sahaja tentang teknologi tetapi juga mengenai mewujudkan peluang ekonomi, meningkatkan daya saing usahawan dan memastikan keselamatan pengguna dalam talian. Dalam era transformasi digital ini, penggunaan nama domain .MY langkah penting ke arah membina jenama dan perniagaan dalam talian yang kukuh.

“Dengan memiliki nama domain yang unik dan beridentiti nasional, syarikat tempatan dapat memperkukuhkan kehadiran digital mereka dan meningkatkan kebolehpercayaan pelanggan terhadap produk serta perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Kempen ‘RevUp & Register’ 2024 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Digital Fabian Bigar.

Dalam usaha untuk mengukuhkan ekosistem digital negara, Gobind berkata MYNIC akan terus memainkan peranan lebih aktif dalam menyediakan penyelesaian digital inovatif serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan transformasi digital dalam kalangan rakyat Malaysia.

“MYNIC telah membuktikan keupayaannya dalam menyokong keusahawanan inovasi dan syarikat pemula digital, serta dalam mendidik masyarakat tentang kepentingan premis digital yang selamat dan berdaya maju,” katanya.

Gobind turut mengucapkan tahniah kepada kesemua pemenang dan MYNIC atas kejayaan luar biasa Kempen RevUp & Register, dengan harapan lebih ramai rakyat Malaysia akan mengambil peluang memanfaatkan nama domain .MY sebagai sebahagian daripada transformasi digital mereka.

Kempen yang berlangsung dari 1 Mei hingga 31 Dis 2024 itu, bertujuan menggalakkan pendaftaran nama domain .MY sebagai langkah memperkukuhkan identiti digital perniagaan dan individu di Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC Datuk Hasnul Fadhly Hasan berkata sambutan terhadap kempen itu menunjukkan kesedaran yang semakin tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia untuk memiliki identiti digital yang kukuh.

“Sepanjang kempen ini, kami menyaksikan pertumbuhan positif dalam pendaftaran nama domain .MY, menandakan kepercayaan yang semakin meningkat terhadap kelebihan memiliki premis digital yang sah dan boleh dipercayai.

“Dengan peningkatan lebih 35,000 pendaftaran baharu, ini membuktikan bahawa lebih ramai individu dan perniagaan di Malaysia telah mengambil langkah strategik dalam memperkukuhkan jenama mereka di alam maya,” katanya.

Beliau berkata MYNIC akan terus menyokong agenda digital kerajaan untuk memastikan Malaysia menjadi sebuah negara digital yang berdaya saing dan percaya dengan usaha berterusan, nama domain .MY akan terus menjadi pilihan utama rakyat dalam memperkukuhkan kehadiran digital mereka.

Untuk maklumat lanjut mengenai pendaftaran nama domain .MY dan program akan datang, sila layari www.mynic.my atau media sosial rasmi MYNIC.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan