AM

RM254.01 Juta Pinjaman TMP Diluluskan Pada 2024, Perkukuh Daya Saing Koperasi

06/03/2025 04:00 PM

PADANG BESAR, 6 Mac (Bernama) -- Sejumlah RM254.01 juta pinjaman Tabung Modal Pusingan (TMP) diluluskan sepanjang tahun lepas untuk memperkukuh daya saing koperasi termasuk koperasi sekolah di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Datuk Rusli Jaafar berkata daripada jumlah itu, RM100,000 diluluskan bagi menyokong perkembangan koperasi di Perlis.

“Melalui Kumpulan Wang Amanah Pembangunan, SKM juga telah menyalurkan bantuan RM1.33 juta kepada 20 koperasi yang layak sepanjang tahun lepas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pemantapan Koperasi Sekolah dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Negeri Perlis 2025 di Beseri dekat sini hari ini.  

Seramai 165 pelajar sekolah daripada keluarga kurang berkemampuan yang merupakan anggota koperasi sekolah menerima sumbangan beg sekolah dan kelengkapan alat tulis menerusi program CSR berkenaan. 

Sementara itu, Rusli berkata terdapat 2,499 koperasi sekolah di seluruh negara termasuk 33 di Perlis setakat Jun 2024, dengan keanggotaan 2,087,769 orang yang mencatatkan jumlah syer RM30.47 juta, manakala aset RM469.56 juta serta perolehan RM326.58 juta.  

“Bagi Perlis, terdapat 26,142 anggota dengan syer berjumlah RM240,000, nilai aset RM4.79 juta dan perolehan RM3.43 juta,” katanya.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan