KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini melancarkan program latihan secara percuma untuk pesara dan bakal pesara bomba.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata sebanyak 1,000 peserta akan terlibat dalam inisiatif berkenaan yang dibiayai sepenuhnya oleh NIOSH melalui dana Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
Antara kursus ditawarkan ialah ‘Train The Trainer’ bagi melatih peserta menjadi jurulatih profesional, Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan kursus ‘Lead Auditor’ bagi pensijilan sistem pengurusan.
“Saya amat berterima kasih (kepada Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan NIOSH) kerana biasanya program latihan seperti ini mereka perlu membayar, tetapi khusus buat ‘Wira Merah’ kita, mereka akan menerima kursus ini secara percuma,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani dan Pertukaran Nota Kerjasama antara NIOSH dan JBPM, yang disaksikan oleh Nga dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim di Bangunan Parlimen hari ini.
Sementara itu, Sim berkata dengan adanya latihan berstruktur dan pensijilan yang diiktiraf, bakal pesara bomba berpeluang menambah nilai dan sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka selepas bersara.
Dalam pada itu, Nga dalam kenyataan berkata kerjasama antara JBPM dan NIOSH mencerminkan komitmen kerajaan MADANI dalam memperkukuh budaya keselamatan dan kesiapsiagaan terhadap sebarang risiko kebakaran serta bahaya di tempat kerja.
Beliau berkata rekod Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menunjukkan 66,574 kes bencana kerja berlaku di seluruh negara pada tahun lepas, manakala berdasarkan statistik JBPM, anggaran nilai kerugian akibat kebakaran mencecah RM1.56 bilion.
“Kerjasama strategik antara agensi seperti JBPM dan NIOSH amat penting dalam merangka penyelesaian yang lebih berkesan bagi menghadapi cabaran-cabaran ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial