KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Pemain beregu lelaki negara Aaron Chia sah beraksi, sekali gus menamatkan teka-teki mengenai penyertaannya pada Kejohanan Badminton Seluruh England 2025 di Birmingham, yang membuka tirai esok.
Ketua jurulatih beregu lelaki kebangsaan Herry Iman Pierngadi mengesahkan perkara itu susulan kecederaan bahu yang dialami anak buahnya baru-baru ini.
“Berdasarkan maklumat diterima semalam, Aaron akan bermain di Seluruh England,” katanya kepada Bernama.
Legenda beregu Indonesia itu bagaimanapun tidak berangkat ke England susulan masalah visa.
Aaron dan pasangannya Soh Wooi Yik akan membuka kempen pada kejohanan badminton tertua dunia itu menentang gandingan Denmark Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard.
Aaron-Wooi Yik yang turun sebagai pilihan kelima pernah bergelar naib juara pada kejohanan berprestij itu pada edisi 2019 dan 2024.
Kecederaan bahu dialami Aaron menyebabkan beliau dan Wooi Yik tersingkir pada pusingan pembukaan Masters Orleans 2025 di Perancis minggu lepas.
Bekas juara dunia 2022 itu dikejutkan dengan kekalahan 18-21, 8-21 kepada pasangan muda China Sun Wen Jun-Zhu Yi Jun pada kejohanan bertaraf Super 300 berkenaan.
Dalam pada itu, ketua jurulatih beregu campuran negara Nova Widianto berkata pemainnya Cheng Su Yin juga bersedia untuk membuat kemunculan sulung pada Seluruh England meskipun kecederaan buku lali yang menimpanya pada Masters Orleans, minggu lepas.
“(Su Yin) boleh main dan sudah boleh berlatih,” katanya dalam pesanan ringkas.
Pemain berusia 21 tahun itu tergelincir di tangga selepas perlawanan pusingan kedua Masters Orleans, menyebabkan beliau dan pasangan Hoo Pang Ron, terpaksa menarik diri daripada aksi suku akhir menentang wakil Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Gloria Emanuelle Widjaja, Jumaat lepas.
Pang Ron-Su Yin bakal membuat perhitungan dengan Ki Dong Ju-Jeong Na Eun dari Korea Selatan pada pusingan pertama Seluruh England 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial