KAJANG, 12 Mac (Bernama) -- Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini menyantuni petugas dan sukarelawan yang bekerjasama menjayakan Program Bubur Lambuk Semarakkan Ramadan Bersama Dunkin.
Beliau yang hadir ke tempat penyediaan program itu, turut menyertai petugas dan sukarelawan untuk sama-sama memasak dan mengacau bubur lambuk yang dimasak dalam tiga kawah.
“Syukur ke hadrat Illahi di bulan Ramadan yang mubarak ini kita dapat jalankan satu program seperti ini dan suka saya nak kongsikan bahawa stok buah kurma untuk pengagihan juga baru sahaja sampai dari Abu Dhabi pada Ramadan ke-11 ini,” katanya ketika berucap pada program itu di pejabat Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM), di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YFBM Johan Halid berkata sebanyak 1,500 beg makanan berisi bubur lambuk, donat dan pek kurma diagihkan ke beberapa lokasi terpilih antaranya di MRT Ampang Park, Terminal Putrajaya Sentral, LRT Taman Jaya dan Flat Taman Impian Ehsan, dekat sini.
Ketua Pegawai Operasi Golden Donut Sdn Bhd Jesrina Liew berkata ini merupakan tahun kedua syarikat berkenaan bekerjasama dengan YFBM menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) pada Ramadan.
"Kita mendekati orang ramai menerusi tawaran sumbangan RM2 kepada YFBM bagi setiap pembelian ‘Ramadan Raya Combo’. Sumbangan ini bertujuan membantu golongan yang memerlukan melalui program ini.
“Sasaran kami adalah untuk mengumpul sekurang-kurangnya RM60,000. Namun, jika sasaran ini tidak tercapai, ia bukan satu masalah kerana kami telah menyerahkan jumlah diperlukan kepada YFBM lebih awal bagi memastikan inisiatif CSR ini dapat dijalankan. Kami benar-benar ingin membantu golongan kurang berkemampuan sepanjang bulan mulia ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial