KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Hasil pusat data ASEAN dijangka menyaksikan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 20 peratus menjelang 2028, menurut Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB).
Maybank IB dalam nota penyelidikan hari ini berkata pertumbuhan itu akan didorong oleh keperluan rantau itu sendiri dan permintaan global kerana ASEAN boleh muncul sebagai hab pusat data, disokong oleh ekonomi kos menggalakkan dan infrastruktur tenaga elektrik/air.
“Dengan mengandaikan separuh daripada enam peratus permintaan global datang dari China dan mengandaikan China dilarang menjalankan model bahasa besar (LLM) di ASEAN, pertumbuhan permintaan keseluruhan dijangka akan berkurangan kepada 17.2 peratus,” katanya.
LLM ialah jenis kecerdasan buatan lanjutan yang direka untuk memahami dan menjana teks seperti manusia.
Maybank IB berkata walaupun pelaburan diterajui oleh syarikat China di ASEAN mungkin menghadapi halangan dari segi pengawalseliaan, ia hanya akan menyumbang sekitar 10 peratus daripada jumlah pelaburan.
Walaupun kawalan eksport Amerika Syarikat (AS) baharu yang ketat untuk mengehadkan akses kepada teknologi kecerdasan buatan (AI) termaju, Maybank IB berkata masih ada beberapa faktor untuk bersikap optimis.
AI menyediakan potensi pertumbuhan jangka panjang untuk negara anggota ASEAN manakala pertumbuhan jangka sederhana akan didorong oleh ASEAN yang menjadikan pusat data tradisional untuk pengkomputeran dan penyimpanan awan, katanya.
Maybank IB juga mengunjurkan ASEAN berada antara 55 peratus hingga 70 peratus di belakang pasaran berkembang dari segi infrastruktur pusat data pada asas per kapita.
Pada masa sama, ia berkata pengumuman pembukaan pusat data dipacu AI di ASEAN kebanyakannya diterajui oleh pusat data besar AS, dipercayai berada pada kedudukan lebih baik bagi mengatasi sekatan pasaran.
“Selain itu, kami melihat potensi permintaan lebih besar untuk unit pemprosesan grafik sebagai Perkhidmatan (GPU-as-a-Service atau GPUaaS) di ASEAN jika akses kepada GPU termaju di China disekat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial