Oleh Karina Imran & Nurul Jannah Kamaruddin
KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Kualiti hidup rakyat Malaysia dijangka bertambah baik berikutan kenaikan gaji minimum bulan depan dan pelarasan gaji perkhidmatan awam.
Kenaikan gaji terkini dalam perkhidmatan awam adalah antara usaha untuk memastikan pendapatan mencukupi bagi kelangsungan hidup dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi dan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang diperlukan.
“Walaupun ini kelihatan kecil, kesannya amat penting ke arah memastikan taraf hidup yang mampu milik.
"Bantuan-bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) atau Sumbangan Asas Rahmah (SARA), kedua-duanya diberikan untuk meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik," kata Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial Universiti Malaysia Terengganu Profesor Madya Dr Roshaiza Taha kepada Bernama.
Gaji minimum bulanan Malaysia akan dinaikkan kepada RM1,700 daripada RM1,500, berkuat kuasa 1 Feb tahun ini.
Di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), pegawai dalam kumpulan pelaksana, pengurusan dan profesional menerima pelarasan gaji berperingkat sebanyak 15 peratus - lapan peratus dalam Fasa Satu setakat Disember tahun lalu, dan tujuh peratus dalam Fasa Dua, bermula Januari 2026.
Kumpulan pengurusan tertinggi menerima pelarasan gaji sebanyak empat peratus dalam Fasa Satu dan tiga peratus dalam Fasa Dua.
Gaji perkhidmatan awam telah disemak kali terakhir 12 tahun yang lalu. Langkah berani ini selaras dengan usaha mentransformasikan pendapatan penjawat awam yang melibatkan peruntukan sehingga RM10 bilion.
Ia juga menunjukkan kedudukan kewangan Malaysia kekal kukuh walaupun mengalami ketidaktentuan kewangan global.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dan pada banyak kesempatan, menekankan pentingnya asas ekonomi yang kukuh untuk meningkatkan daya tahannya terhadap pelbagai kesan riak akibat ketidaktentuan geopolitik dan faktor-faktor luaran lain.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya Dr Elya Nabila Abdul Bahri berpendapat peningkatan gaji minimum dan upah penjawat awam akan memacu kuasa beli pengguna dan penggunaan agregat yang seterusnya meningkatkan kesan pengganda dan merangsang pertumbuhan ekonomi.
Beliau juga yakin struktur gaji di bawah SSPA telah meneliti kadar inflasi dan peningkatan dalam kos sara hidup dengan keadaan ekonomi semasa.
Pada masa kini, kos sara hidup di Malaysia hasil daripada inflasi adalah lebih rendah berbanding negara-negara ASEAN yang lain.
Pada hujung 2024, kadar inflasi di Malaysia sekitar 1.8 peratus, lebih rendah berbanding negara-negara ASEAN yang lain seperti Laos (18.32 peratus), Vietnam (2.94 peratus) dan Filipina (2.9 peratus).
Beliau menjelaskan kenaikan gaji bukan satu-satunya faktor inflasi tetapi juga disebabkan gangguan rantaian bekalan, peningkatan dalam kos pengeluaran seperti kos buruh, kos operasi dan kos bahan mentah yang memacu peralihan kos kepada harga barangan akhir.
"Sehubungan itu, kerajaan perlu mengawal peningkatan harga barang di setiap rantaian bekalan, dan bukan hanya kawalan harga pada barangan akhir," katanya.
Elya Nabila menegaskan walaupun ekonomi global kembali pulih selepas pandemik, harga barang mentah masih di tahap tinggi ekoran kebergantungan kepada bahan mentah yang diimport, ditambah pula dengan ketidaktentuan kadar pertukaran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial