Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Northern Solar Holdings Bhd menyasar pertumbuhan hasil meningkat sebanyak 20 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 (TK2025) daripada RM77.97 juta pada tahun sebelumnya.
Pengarah Urusannya Lew Shoong Kai berkata beliau optimis dapat mencapai sasaran itu, disokong oleh nilai perolehan kontrak yang belum diterima pembayaran sebanyak RM83.2 juta pada 19 Nov 2024.
“Nilai perolehan projek yang belum diterima pembayaran ini akan menjadikan syarikat sibuk sepanjang tempoh 12 bulan akan datang dan ia akan dikira sebagai hasil bagi TK2025 dan TK2026, berdasarkan jangkaan kemajuan setiap projek,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas penyenaraiannya hari ini.
Syarikat itu memulakan dagangan sulung di Pasaran ACE pada 90 sen, dengan premium 27 sen berbanding harga tawaran awam permulaannya (IPO) sebanyak 63 sen, dengan 11.97 juta saham didagangkan.
Northern Solar telah menyiapkan 1,165 kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi projek sistem fotovoltaik solar (PV) di bawah program Pemeteran Tenaga Bersih dan penggunaan kendiri setakat 19 Nov 2024.
Syarikat itu mempunyai nilai perolehan kontrak belum diterima pembayaran sebanyak RM83.2 juta terdiri daripada RM68.6 juta EPCC projek sistem PV solar untuk bangunan segmen komersial dan perindustrian, RM13.8 juta untuk bangunan kediaman dan baki RM0.8 juta untuk peralatan PV solar dan operasi serta penyenggaraan projek sistem.
Pada 19 Nov 2024, nilai perolehan kontrak syarikat itu meningkat kepada RM1.8 bilion. Northern Solar mengambil bahagian dalam lebih banyak tender projek swasta dan awam di seluruh Malaysia, yang menyaksikan tendernya melonjak dengan ketara daripada RM272.5 juta pada 15 Mei 2024.
Pada masa ini iamempunyai 387 tender bagi EPCC projek sistem PV solar.
“Kami akan terus membuat susulan dan menukar semua tender ini kepada nilai perolehan kontrak,” katanya.
Syarikat itu merancang untuk berkembang ke seluruh Malaysia dengan menubuhkan pejabat di Johor dan Pulau Pinang sambil meneroka peluang di negeri lain, kata Lew.
Selain itu, ia juga mempunyai rancangan untuk mengembangkan operasinya di Asia Tenggara.
“Terdapat beberapa negara yang berpotensi. Kami akan membincangkan perkara ini dengan lembaga pengarah,” katanya.
Mengenai perkembangan lain, Lew berkata beliau tidak menjangkakan kesan langsung daripada penutupan dan pengecilan saiz pengeluar panel solar milik China di Malaysia berikutan kenaikan tarif Amerika Syarikat (AS).
"Pengilang panel solar China membuka kilang di sini terutamanya untuk eksport ke AS manakala kami mendapatkan panel kami terus dari China," katanya.
Media melaporkan bahawa beberapa pengeluar panel solar milik China menutup atau mengurangkan operasi di Malaysia apabila kenaikan tarif AS pada 2024 telah mengurangkan margin dengan kenaikan seterusnya dijangkakan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial