AM

Masjid, Surau Di Bawah JAKIM, JAWI Perlu Beri Kemudahan Terbaik - Mohd Na'im

01/03/2025 09:04 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Masjid dan surau di bawah pentadbiran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diarahkan memberi kemudahan terbaik bagi menyantuni para jemaah sepanjang bulan Ramadan, yang bermula esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata Program Ihya' Ramadan juga telah disusun sepanjang bulan itu, dan ia akan dianjurkan oleh pelbagai agensi di kementerian berkenaan.

“Selamat menyambut bulan Ramadan dengan amalan dan penghayatan. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada umat Islam untuk menunaikan ibadat sepanjang bulan Ramadan ini,” katanya dalam hantaran di media sosialnya.

Barisan Kabinet lain turut mengambil peluang untuk mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan dan menjalani ibadah puasa di media sosial kepada seluruh umat Islam di negara ini.

Mendoakan agar Ramadan membawa keberkatan dan kesejahteraan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu turut mengajak rakyat bersederhana sepanjang bulan itu dengan mengelakkan pembaziran dan merancang perbelanjaan ketika membeli juadah berbuka puasa.

 Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli pula mengajak umat Islam mengambil kesempatan bulan yang mulia itu untuk memperbaiki diri, mengukuhkan hubungan dengan Allah dan mengeratkan silaturahim sesama umat Islam.

Begitu juga Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan yang mendoakan umat Islam dipanjangkan umur dan diberikan kesihatan tubuh badan untuk menjalankan ibadah puasa serta mempertingkatkan amalan ibadah serta kerja-kerja kebajikan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad pula berkata Ramadan bukan sekadar ibadah puasa, tetapi platform terbaik untuk meningkatkan nilai toleransi dan saling menghormati antara manusia.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berharap Ramadan dapat membawa ketenangan, keinsafan dan kekuatan kepada umat Islam untuk memperbanyakkan amal ibadah serta memanfaatkan peluang meningkatkan ketakwaan.

Ucapan sama dikongsi antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan.

Dalam pada itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi turut berharap bulan penuh keistimewaan itu membawa kebahagiaan kepada umat Islam dan mencadangkan agar mereka yang dalam perjalanan ke masjid mengambil peluang melaporkan jalan berlubang melalui aplikasi ‘MYjalan’.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan