SEOUL, 3 Jan (Bernama-Yonhap) -- Penyiasat Korea Selatan daripada agensi anti-rasuah negara memasuki kediaman presiden pada Jumaat untuk melaksanakan waran penahanan terhadap Presiden Yoon Suk Yeol selepas kegagalannya melaksanakan undang-undang tentera bulan lalu, lapor Agensi Berita Yonhap.
“Kami telah mula melaksanakan waran penahanan terhadap Presiden Yoon,” menurut Pejabat Siasatan Rasuah bagi Pegawai Berpangkat Tinggi (CIO) dalam satu kenyataan kepada media.
CIO mempunyai tempoh sehingga Isnin untuk melaksanakan waran penahanan atas dakwaan pemberontakan dan penyalahgunaan kuasa berkaitan cubaan singkat Yoon menguatkuasakan undang-undang tentera pada 3 Dis lalu.
Namun, usaha CIO berdepan cabaran dengan kehadiran penyokong Yoon di luar kediaman presiden yang turut meningkatkan risiko pertembungan dengan Perkhidmatan Keselamatan Presiden.
Ribuan penyokong berkumpul berhampiran kediaman itu sejak beberapa hari lalu untuk membantah pemecatan Yoon dan menghalang penahanannya.
Sebahagian daripada mereka telah diusir secara paksa oleh polis.
CIO kini bekerjasama dengan polis dan unit siasatan Kementerian Pertahanan bagi menjalankan siasatan bersama terhadap cubaan undang-undang tentera Yoon yang gagal.
Pasukan pembelaan Yoon menyifatkan waran itu sebagai "tidak sah dan tidak berperlembagaan" serta memfailkan injunksi untuk menghalang pelaksanaannya.
Sekiranya Perkhidmatan Keselamatan Presiden atau penyokong Yoon cuba menghalang pelaksanaan penahanan tersebut, polis menegaskan bahawa mereka yang terlibat akan ditahan atas tuduhan menghalang tugas rasmi.
Jika Yoon ditahan, penyiasat akan membawanya ke ibu pejabat CIO di Gwacheon, selatan Seoul untuk disoal siasat sebelum menahannya di Pusat Tahanan Seoul.
Sebaik ditahan, CIO mempunyai tempoh 48 jam untuk memohon waran tambahan bagi penahanan rasmi atau membebaskannya.
-- BERNAMA-YONHAP
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial