DUNIA

Bangladesh Keluarkan Waran Tangkap Terhadap Bekas PM Hasina

06/01/2025 09:00 PM

DHAKA, 6 Jan (Bernama-Xinhua) -- Sebuah tribunal khas di ibu negara Bangladesh, Dhaka, telah mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina dan 11 individu lain berkaitan insiden kehilangan paksa, lapor Xinhua.

Tribunal Jenayah Antarabangsa dua anggota, yang dipengerusikan Hakim Md Golam Mortuza Majumdar mengeluarkan waran itu pada Isnin di Dhaka.

Bekas Penasihat Pertahanan Hasina Mejar Jeneral (B) Tarique Ahmed Siddique, dan bekas Ketua Polis Bangladesh Benazir Ahmed, turut disenaraikan sebagai suspek.

Ketua Pendakwa Raya Tajul Islam memaklumkan kepada wartawan bahawa pihaknya telah memohon waran tangkap untuk keseluruhan 12 individu yang terlibat dalam kes kehilangan paksa itu.

"Antara mereka, Mejar Jeneral Ziaul Ahsan yang telah dipecat, diarahkan untuk dihadapkan ke muka pengadilan kerana beliau sedang berada dalam tahanan. Waran telah dikeluarkan terhadap 11 lagi individu," katanya.

Menurut pendakwa raya, perbicaraan seterusnya dalam kes itu dijadualkan pada 12 Feb.

Media tempatan melaporkan bahawa Hasina melarikan diri ke India pada 5 Ogos 2024 selepas kerajaannya tumbang.

Kementerian Luar Bangladesh menghantar satu nota diplomatik kepada New Delhi bulan lepas, meminta Hasina dikembalikan ke Dhaka dari India.

Kementerian Hal Ehwal Luar India kemudian mengesahkan bahawa mereka telah menerima permintaan ekstradisi bekas Perdana Menteri Bangladesh yang digulingkan itu dari Dhaka.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan