SUKAN

Terbuka Malaysia: Masih Permainan Mantap Jun Hao - Jonassen

07/01/2025 07:05 PM

KUALA LUMPUR, Jan 7 (Bernama) -- Ketua jurulatih perseorangan negara Kenneth Jonassen berpendapat Leong Jun Hao memiliki asas yang kukuh untuk pergi lebih jauh meskipun pemain perseorangan lelaki tersebut tersingkir pada pusingan pertama pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia pertama beliau hari ini.

Jurulatih dari Denmark itu berkata pemain nombor 29 dunia, Jun Hao, boleh berbangga dengan prestasinya walaupun tewas 17-21, 21-16, 13-21 kepada pemain nombor 16 dunia dari China Lu Guang Zu di Axiata Arena Bukit Jalil, di sini.

“Saya rasa ini adalah Kejohanan Terbuka Malaysia pertama Jun Hao... namun, dia menguruskan emosinya dengan baik selepas tewas pada set pertama dan dia menamatkan set kedua dengan gaya yang hebat. Tetapi pada set penentuan, dia tidak memulakan dengan baik dan itu terbukti menjadi faktor penentu.

“Tetapi saya nampak asas untuk terus maju dan kematangan yang tenang dalam keseluruhan permainannya. Dia memerlukan sedikit lagi pengalaman tetapi asas yang ada sudah cukup baik dan saya sangat berpuas hati dengan perkembangan itu,” kata beliau kepada pemberita.

Jurulatih berusia 50 tahun itu juga percaya bahawa dengan lebih banyak pengalaman, Jun Hao akan dapat melaksanakan pukulan yang lebih tajam,terutama ketika berhadapan dengan detik-detik penting.

Beliau juga pantas menolak dakwaan tekanan bertanding dalam Kejohanan Terbuka Malaysia pertama menjadi faktor penyumbang kekalahan Jun Hao pada pusingan pembukaan.

Jonassen berkata pemain berusia 25 tahun itu memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan persaingan di peringkat tertinggi kerana perlawanan pusingan pertama kadangkala lebih mendebarkan berbanding biasa.

“Saya tidak akan mengatakan bahawa tekanan adalah isu utama. Mungkin lima peratus daripadanya... jadi, dia boleh bermain dengan bebas 100 peratus, tetapi tidak ada pemain yang benar-benar bermain dengan bebas dalam perlawanan pusingan pertama... anda memerlukan masa untuk menyesuaikan diri,” katanya.

Jun Hao dijangka kembali beraksi pada Terbuka India 2025 di New Delhi pada 14 hingga 19 Jan ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan