AM

e-PCB Plus Ganti Sistem Perkhidmatan Potongan Cukai Sedia Ada - LHDN

08/01/2025 12:38 PM

PUTRAJAYA, 8 Jan (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memperkenalkan sistem perkhidmatan Potongan Cukai Bulanan (PCB) baharu, e-PCB Plus, bagi menggantikan sistem sedia ada iaitu e-PCB, e-Data PCB dan e-CP39 di bawah satu platform menerusi portal MyTax.

LHDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pelaksanaan berkenaan seiring dengan pelan peralihan ke arah sistem e-PCB Plus Fasa 1 yang bermula pada 24 Sept lepas.

Ia melibatkan fungsi pendaftaran peranan Majikan, Wakil Majikan dan Pentadbir PCB di MyTax dan Wakil Pentadbir di e-PCB Plus bagi seluruh majikan yang terlibat dengan PCB.

“Susulan pelaksanaan sistem perkhidmatan baharu ini, majikan diminta untuk menyelesaikan semua pengemukaan data dan bayaran PCB bagi potongan bulan semasa atau potongan tahun kebelakangan pada atau sebelum 15 Jan 2025,” menurut kenyataan itu.

LHDN memaklumkan mulai 15 Jan ini, sistem PCB sedia ada hanya dibuka untuk tujuan paparan sahaja bagi membolehkan majikan membuat semakan terhadap maklumat atau rekod PCB terdahulu.

“Fungsi lain seperti pengisian, pengiraan dan bayaran PCB akan ditutup sepenuhnya. Pelaksanaan sistem e-PCB Plus sepenuhnya akan dimaklumkan sebelum dibuka secara rasmi bagi kegunaan seluruh majikan dan pengguna,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, LHDN menyarankan agar majikan yang sedang menggunakan sistem e-PCB, e-Data PCB dan e-CP39 dan masih belum membuat pendaftaran peranan di sistem e-PCB Plus untuk menyelesaikan semua pengemukaan berkaitan dengan segera bagi melancarkan proses peralihan berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan