AM

Inisiatif LTP Tingkat Keyakinan Pengguna Pada Produk Kosmetik, Penjagaan Diri Tempatan

08/01/2025 02:02 PM

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Program Lab Tested (LTP) merupakan inisiatif pengiktirafan oleh Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia Sdn Bhd (Bioeconomy Corporation), sebuah agensi kerajaan yang menyokong industri berasaskan bio dan bioteknologi Malaysia, bertujuan membina semula kepercayaan terhadap produk kosmetik dan penjagaan diri tempatan.

Naib Presiden Kanan, Bahagian Sokongan Industri Bioeconomy Corporation Nora Mohamed berkata LTP direka untuk mengesahkan keselamatan produk menerusi ujian bertauliah sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna dengan memastikan produk mematuhi standard keselamatan antarabangsa dan memenuhi had yang ditetapkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Menurut Nora, LTP menyokong matlamat Malaysia memacu kelestarian dan inovasi dalam sektor berasaskan bio dan bioteknologi serta mengetengahkan kekayaan biodiversiti negara ini dan sumber unik dengan mengiktiraf produk yang diperbuat daripada bahan semula jadi dan berasaskan bio. 

"Program ini bukan semata-mata tentang menjamin keselamatan, ia tentang menggalakkan perniagaan tempatan untuk mencipta produk inovatif, mesra alam yang menonjol. Ia satu langkah ke hadapan dalam membina bioekonomi yang kukuh dengan menukar sumber semula jadi kepada penyelesaian bernilai yang memenuhi jangkaan global.

"Dengan sokongan Bioeconomy Corporation, program ini membantu perniagaan meraih pengiktirafan dan keyakinan pengguna sambil menampilkan potensi Malaysia sebagai peneraju dalam inovasi lestari," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bagi pengguna, Nora berkata LTP bukan sekadar mengenai keselamatan tetapi juga kepercayaan iaitu apabila mereka melihat logo LTP, mereka tahu bahawa produk berkenaan telah diuji dan mewakili alternatif berasaskan bio yang inovatif dalam kosmetik dan penjagaan diri.

"Ketelusan ini bukan sahaja meyakinkan pengguna mengenai keselamatan dan kualiti produk malah menyokong pilihan mereka untuk pilihan yang mampan dan semula jadi," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai pemilihan produk, Nora berkata ia ringkas namun berimpak iaitu pihaknya memfokuskan pada dua perkara iaitu keunikan pengkhususan yakni mereka mencari produk yang menonjol kerana menggunakan bahan berasaskan bio yang inovatif atau penyelesaian semula jadi.

Selain itu, fokus turut diberikan kepada komitmen syarikat terhadap standard, yang perlu memenuhi standard keselamatan dan kualiti yang kukuh termasuk memastikan produk mereka dalam fasiliti yang mendapat perakuan Amalan Pengilangan yang Baik (GMP) dan mematuhi garis panduan NPRA, sekali gus memastikan hanya produk yang boleh dipercayai dan efektif diketengahkan.

"Secara ringkasnya, kami mencari produk yang bukan sahaja unik, tetapi juga selamat, efektif dan dibuat dengan berhati-hati," katanya.

Beliau turut mengambil contoh MISMIS®, suatu jenama penjagaan mulut oleh NFA Technologies Sdn Bhd yang menggunakan tanin koko sebagai alternatif semula jadi kepada florida dalam produk-produknya, sebagai suatu produk yang berjaya, sambil menekankan pengiktirafan LTP telah membantu jenama itu memperkukuh kedudukannya dalam pasaran dan berjaya bersaing dengan jenama antarabangsa.

"Matlamat kami ialah menjadikan Program Lab Tested suatu penanda aras yang dipercayai untuk keselamatan dan kualiti dalam industri kosmetik dan penjagaan diri.

"Dengan bekerjasama rapat dengan makmal-makmal bertauliah, BioNexus Partners Laboratories kami dan menawarkan faedah tambahan kepada perniagaan yang menyertai (program ini), kami menyasarkan untuk melonjakkan produk tempatan ke standard global termasuk dengan meningkatkan daya saing mereka dalam pasaran antarabangsa sambil memastikan pengguna mempunyai akses kepada produk yang selamat, berkualiti tinggi dan inovatif," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan NFA Technologies Noormawarni Nordin berkata syarikatnya yang ditubuhkan pada 2014 dan merupakan sebahagian daripada program Bio-based Accelerator (BBA) oleh  Bioeconomy Corporation, tertarik dengan LTP kerana rangka kerjanya yang utuh bagi menjamin keselamatan, keberkesanan dan pematuhan dengan standard antarabangsa.

Beliau berkata NFA Technologies mengetahui mengenai LTP menerusi kerjasama dengan rangkaian industri yang memfokuskan pada pengkomersilan teknologi dan reputasi program itu untuk pengesahan produk yang ketat yang sejajar dengan komitmen syarikatnya terhadap kualiti dan inovasi, merupakan penyebab utama mereka menyertai program tersebut.

"Kredibiliti program itu dan kepakaran dalam ujian makmal memberi peluang untuk meningkatkan kepercayaan pengguna, membezakan produk kami dalam pasaran yang sengit dan memenuhi permintaan pengguna yang mementingkan alam sekitar dan memberi tumpuan pada kesihatan, LTP merupakan pilihan tepat untuk mengesahkan dan meningkatkan tawaran inovatif," katanya.

Dengan mengambil bahagian dalam LTP, NFA Technologies katanya menyasarkan untuk mencapai beberapa matlamat utama iaitu pengesahan dan kredibiliti, pembezaan pasaran, pematuhan peraturan, jaminan pelanggan dan penanda aras inovasi.

"Melalui hasil ini, NFA Technologies menyasarkan untuk mengukuhkan reputasinya sebagai peneraju dalam inovasi produk yang mampan dan dipacu teknologi," katanya sambil menambah bahawa proses ujian dan pengiktirafan di bawah LTP merupakan perjalanan yang menyeluruh. 

Noormawarni menyifatkan sokongan yang diberikan oleh Bioeconomy Corporation semasa proses LTP sebagai luar biasa dan memainkan peranan penting dalam memastikan pengalaman yang lancar dan cekap untuk NFA Technologies.

"Secara keseluruhannya, LTP menawarkan manfaat yang sangat baik yang boleh membantu syarikat berasaskan bio membina kredibiliti, mengembangkan capaian mereka dan memastikan produk mereka memenuhi standard global," kata Noormawarni.

 -- BERNAMA

 

Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel tersebut.

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan