KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Penubuhan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Kampung Orang Asli Kelinsing, Sepang, Selangor yang merupakan Kampung Angkat MADANI Kementerian Komunikasi memberikan impak positif, dengan meningkatkan keunikan dan menjadi kelebihan kepada penduduk kampung berkenaan.
Setiausaha Bahagian Pembangunan Kementerian Komunikasi Maizatusima Judi berkata penyediaan kemudahan NADI di kampung itu dapat memperkasakan potensi dan kesejahteraan komuniti serta mendekati mereka dengan teknologi dan ilmu keselamatan dalam talian, selain membantu meningkatkan taraf hidup penduduk melalui pelbagai kemudahan digital.
"Kampung Orang Asli Kelinsing ini juga adalah satu-satunya Kampung Angkat MADANI di seluruh negara yang dilengkapi dengan kemudahan NADI.
"NADI ini tidak termasuk dalam peruntukan RM2.5 juta yang diperuntukkan kepada kementerian, ia adalah hasrat Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa bagi menyediakan infrastruktur itu untuk penduduk belajar sesuatu terutamanya seperti ekonomi gig dan digital," katanya pada program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.
Beliau berkata kemudahan NADI yang diusahakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu dijangka dirasmikan pada Sabtu ini.
Maizatusima berkata pelbagai aktiviti menarik telah dirancang pada hari perasmian itu seperti gotong-royong, pameran budaya dan hasil kraf tangan Orang Asli serta pendedahan mengenai keselamatan dalam talian oleh MCMC.
Selain penubuhan NADI, beliau berkata pihaknya juga telah membantu membina semula balai budaya serta kantin di sebuah tapak yang dikenal pasti digunakan oleh penduduk kampung itu bagi melaksanakan aktiviti kebudayaan.
"Kami di Kementerian Komunikasi melihat adanya keperluan untuk memberi nafas baharu kepada infrastruktur di kawasan ini.
"Kami turut menambah baik infrastruktur seperti menurap jalan masuk ke kampung berkenaan serta menggantikan parit dengan longkang, dan untuk makluman kawasan ini dulu pernah menghadapi banjir. Jadi, kami nampak ada keperluan untuk membuat longkang sebagai tebatan banjir," katanya.
Maizatusima berkata penambahbaikan kemudahan infrastruktur itu juga dapat membantu menarik lebih ramai pelancong ke kampung berkenaan, sekali gus mempromosikan hasil kraf tangan penduduk menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Kampung Angkat MADANI merupakan inisiatif Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2024 untuk meningkatkan capaian kemudahan asas secara holistik menerusi pendekatan Whole of Government.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial