DUNIA

Menteri Luar Thailand Maris Dijadual Hadir Permukiman AMM Di Langkawi

10/01/2025 07:43 PM

BANGKOK, 10 Jan (Bernama) -- Menteri Luar Thailand Maris Sangiampongsa dijadual menghadiri Permukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN (Permukiman AMM) dari 18 hingga 19 Jan di Langkawi, sebuah destinasi terkenal di utara Malaysia.

Jurucakap Kementerian Luar Thailand Nikorndej Balankura berkata Maris akan menghadiri Permukiman AMM atas jemputan Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Permukiman AMM adalah Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN yang pertama tahun ini di bawah Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia.

Para menteri luar akan meneliti hala tuju keseluruhan kepimpinan Malaysia sepanjang 2025 di bawah tema Keterangkuman dan Kemampanan,” katanya pada taklimat media, Jumaat.

Malaysia secara rasmi mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN 2025 pada 1 Jan, kali kelima negara ini memegang jawatan itu sejak penubuhan ASEAN pada 1967.

Lebih 300 mesyuarat dan program utama dijadualkan berlangsung di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Malaysia sebelum ini menjadi Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005, dan 2015.

ASEAN terdiri daripada 10 negara anggota iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam.

Nikorndej berkata menteri-menteri luar ASEAN juga dijangka mengambil peluang untuk bertukar pandangan mengenai isu-isu antarabangsa dan serantau yang mempengaruhi rantau ini sepanjang permukiman itu.

Mereka turut akan membuat susulan terhadap hasil mesyuarat AMM ke-44 dan ke-45 yang diadakan di Vientiane, Laos tahun lepas, katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan