DUNIA

Niaga Hadapan MSM Dijangka Cenderung Meningkat Minggu Depan

11/01/2025 10:44 AM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dengan kecenderungan menaik minggu depan, menurut peniaga minyak sawit David Ng.

“Kami menjangkakan harga akan diniagakan antara RM4,300 dan RM4,500 satu tan minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, peniaga minyak sawit kanan Interband Group of Companies Jim Teh menjangkakan sedikit pembetulan dalam niaga hadapan MSM dengan harga diunjurkan antara RM4,100 dan RM4,300 setan.

“Seperti biasa, kami akan memantau kedudukan saham Disember yang akan dikeluarkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

“Dari segi permintaan fizikal, pembeli utama akan turut melibatkan China, menjelang Tahun Baharu Cina, diikuti India, Pakistan, Amerika Syarikat dan negara-negara di Eropah dan Timur Tengah,” katanya.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta Januari 2025 jatuh RM13 kepada RM4,710 satu tan bagaimanapun Februari 2025 meningkat RM50 kepada RM4,561 setan, Mac 2025 melonjak RM23 kepada RM4,391 setan, April 2025 naik RM38 kepada RM4,285 satu tan, Mei 2025 menambah RM48 kepada RM4,209 setan dan Jun 2025 menokok RM55 kepada RM4,167 satu tan.  

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 444,410 lot daripada 280,197 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka jatuh kepada 229,080 kontrak pada Jumaat daripada 223,618 kontrak seminggu sebelumnya.

Harga MSM fizikal untuk Disember Selatan merosot RM40 kepada RM4,760 setan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan