BERITA TERGEMPAR | Malaysia and ASEAN should continue to engage, attract investors from the United States, Europe and China without being forced to take sides -- PM Anwar | |
DAVOS (Switzerland), 22 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi komitmen Malaysia terhadap Perjanjian Iklim Paris mengetengahkan kesediaan negara untuk mengambil langkah berani dan tegas yang menjunjung tinggi nilai kemanusiaan dan memelihara kelestarian.
Beliau berkata Malaysia, sebagai sebuah negara berbilang kaum, bukan sahaja mempamerkan perpaduan di negara sendiri tetapi juga di platform serantau.
“Malaysia boleh menunjukkan bahawa kami sebuah negara majoriti Islam, dengan jumlah etnik Cina dan India yang besar, serta kumpulan pribumi dari Sabah dan Sarawak, mampu bersatu sebagai satu keluarga yang hebat.
“Kami menunjukkan kebaikan dengan cara itu,” kata beliau semasa dialog eksklusif khas bersemuka bertajuk, ''A Conversation with Anwar Ibrahim'' yang dimudahcarakan oleh pengasas dan pengerusi lembaga pemegang amanah Forum Ekonomi Dunia (WEF) Prof Klaus Schwab.
Anwar berkata demikian semasa ditanya sama ada Malaysia akan mengekalkan komitmennya terhadap hak asasi manusia dan pembangunan hijau berikutan penarikan diri Amerika Syarikat (AS) daripada Perjanjian Iklim Paris.
Di peringkat serantau, Perdana Menteri berkata ASEAN telah mencapai konsensus lima perkara mengenai Myanmar khususnya, sambil menambah blok itu melibat urus secara agresif dengan Myanmar dalam isu hak asasi manusia.
“Menyentuh tentang perubahan iklim, tidak kira sama ada kita membincangkan Perjanjian Iklim Paris atau pengiktirafan antarabangsa; kita mesti mengambil tindakan untuk melindungi negara dan rakyat kita.
“Jika ini memerlukan kami mematuhi sepenuhnya komitmen yang berkaitan dengan Perjanjian Iklim Paris, kami mesti berbuat demikian. Ia bukan sekadar menghormati perjanjian; kami sedang berusaha sesegera mungkin untuk menangani isu itu,” kata beliau.
Hasilnya, kata Anwar, Grid Kuasa ASEAN (APG) boleh dibangunkan pada kadar yang lebih pantas daripada yang diunjurkan.
Beliau berkata APG dijangka disepadukan sepenuhnya dalam tempoh beberapa tahun akan datang, membolehkan ASEAN memenuhi keperluan Perjanjian Paris.
“Ia sememangnya sangat penting kepada dunia, terutamanya bagi negara kaya dan negara perindustrian yang menjadi penyumbang besar kepada cabaran global, untuk mengambil tindakan. Negara-negara ini membuat janji yang tidak mereka tunaikan.
“Walaupun kita mungkin menyuarakan kebimbangan kita, kita juga perlu mengambil inisiatif untuk menangani isu ini sendiri,” kata Perdana Menteri.
Anwar berkata apabila menyentuh mengenai hak asasi manusia dan perubahan iklim, ia bukan hanya sekadar mengenai perjanjian antarabangsa semata-mata.
“Komitmen dan nilai kita memaksa kita untuk bertindak demi kemanusiaan. Itulah sebabnya kita perlu mengambil langkah berani dan sukar, bermula dengan aspirasi kita untuk mencapai masa depan yang lebih baik,” kata beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial