KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Malaysia dan Switzerland bersetuju dengan penubuhan Program Malaysia-Swiss Nexus melalui sekretariat di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS).
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, dalam catatan di Facebook hari ini, memaklumkan bahawa persetujuan itu dicapai semasa pertemuannya dengan rakan sejawatannya Prof. Dr. Martina Hirayama, yang juga Setiausaha Negara bagi Pendidikan, Penyelidikan dan Inovasi (SERI) Switzerland.
Pertemuan tersebut diadakan semasa Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Switzerland.
“Pertemuan ini adalah lanjutan daripada pertemuan pertama kami pada September lalu di Bern, Switzerland. Pelbagai perkara telah dibincangkan, termasuk langkah susulan terhadap isu-isu yang dibangkitkan sebelum ini,” katanya.
Zambry turut menyatakan bahawa kedua-dua pihak bersetuju menilai secara komprehensif program pertukaran kepakaran, termasuk dalam kalangan pelajar, pensyarah, dan penyelidik dari kedua-dua negara.
Selain itu, beliau turut menjemput Hirayama untuk melawat Malaysia sempena Kepengerusian ASEAN 2025 bagi melihat lebih dekat universiti dan politeknik di negara ini serta menjalin kerjasama yang lebih erat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial