AM

Malaysia Terus Kekal Teraju Kewangan Islam Dunia

24/01/2025 05:10 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Malaysia terus menerajui kewangan Islam di dunia apabila sekali lagi menduduki tangga pertama dalam Indikator Pembangunan Kewangan Islam (IFDI) 2024.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata Malaysia berada di kedudukan pertama buat kali ke-12 berturut-turut dengan skor tertinggi 144 mata, diikuti Arab Saudi (119), Emiriah Arab Bersatu (UAE) (88), Indonesia (85) dan Pakistan (75).

Beliau berkata Malaysia berjaya mengekalkan pencapaian itu dengan penubuhan institusi penting seperti Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Amanah Ikhtiar Malaysia dan lain-lain sumbangan yang begitu signifikan dalam sejarah di negara ini sejak era Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Majlis Belia Malaysia (MBM).

“Saya menulis buku The Future of Islamic Finance, cuba melontarkan idea untuk melihat kewangan Islam di Malaysia terus terbang tinggi dan meneroka peluang menerusi dimensi yang lebih menyeluruh selari dengan Maqasid al-Shariah. 

“Tidak lupa untuk menelusuri sejarah bagaimana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) menyumbang jasa yang cukup besar, malahan sebelum bergelar menteri lagi. Saya selalu memaklumkan bahawa PMX adalah satu-satunya pemimpin dunia yang konsisten mempromosi ekonomi Islam dan kewangan Islam,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Zulkifli berkata antara institusi yang memainkan peranan awal dalam pengembangan kewangan Islam di Malaysia ialah Koperasi Belia Islam (KBI), yang ditubuhkan pada 31 Mei 1977 di bawah kepimpinan Anwar.

Beliau berkata KBI yang ditubuhkan oleh ABIM menjadi institusi pertama di Malaysia yang memperkenalkan produk dan instrumen kewangan berlandaskan syariah.

“Sebelum Bank Islam berjaya ditubuhkan di Malaysia, KBI telah memainkan peranan sebagai institusi yang menjalankan aktiviti kewangan Islam kepada masyarakat Islam seperti kemudahan pinjaman secara Islam.

“Penubuhan KBI adalah strategi dakwah yang dijalankan oleh Biro Ekonomi ABIM di bawah kepimpinan PMX untuk mendapatkan dana bagi keperluan para ahli dan aktiviti-aktiviti gerakan. Matlamatnya melalui koperasi adalah untuk melaksanakan sistem kewangan Islam dalam urus niaga perniagaan dan pengeluaran produk dengan mengikut syariah Islam,” katanya.

Zulkifli berkata penglibatan ABIM menerusi KBI membantu masyarakat Melayu dalam beberapa kemudahan, keperluan dan urus niaga yang bersifat Islam tanpa membabitkan bunga atau riba yang menjadi ciri utama urus niaga moden hari ini, antaranya menerusi Skim Pinjaman Tanpa Faedah (SPTF) yang mendapat perhatian masyarakat termasuk dalam kalangan bukan Islam.

“Sejak awal penubuhannya pada era 1970-an, ABIM di bawah kepimpinan Allahyarham Ustaz Dr Razali Nawawi dan PMX mendesak kerajaan agar penubuhan Bank Islam disegerakan untuk membolehkan KBI menggunakan segala kemudahan yang bakal disediakan oleh bank berkenaan. 

“Hal ini menggambarkan bahawa KBI berjaya mendahului mana-mana institusi kewangan atau perdagangan di negara ini termasuklah penubuhan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) pada 11 Mei 1983,” katanya.

Beliau berkata KBI telah membuka laluan kepada perkembangan institusi kewangan Islam di Malaysia seperti Bank Islam dan Sistem Perbankan Islam. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan