KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Keputusan kerajaan memberikan potongan tol 50 peratus daripada kadar biasa dapat meringankan beban kewangan rakyat yang akan membuat perjalanan sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Dr T Saravanan berkata selain itu inisiatif berkenaan dapat menggalakkan pergerakan ekonomi domestik dengan meningkatkan aktiviti perjalanan dan pelancongan semasa cuti perayaan itu.
"Subsidi seperti diskaun tol adalah penyelesaian paling praktikal dan segera untuk membantu pengguna sehingga sistem Pangkalan Data Utama (PADU) beroperasi sepenuhnya," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Saravanan berkata langkah itu memastikan bantuan dapat disalurkan dengan cepat tanpa kerumitan untuk mengesahkan kelayakan individu yang menjadi cabaran tanpa sistem data komprehensif dan boleh dipercayai.
Namun, Saravanan berkata FOMCA berharap sistem PADU dapat digunakan sepenuhnya dalam masa terdekat untuk memudahkan pendekatan subsidi yang lebih bersasar, pengagihan subsidi lebih adil selain mengurangkan perbelanjaan kerajaan dalam jangka panjang.
Beliau berkata sistem bersasar membolehkan bantuan disalurkan lebih berkesan kepada golongan paling memerlukan seperti kumpulan B40 dan M40, sambil memastikan pengurusan fiskal dan peruntukan sumber lebih baik.
"Sebagai langkah sementara, pendekatan menyeluruh masih diperlukan untuk menyokong pengguna. Namun, pada masa hadapan, mekanisme subsidi berpandukan data dan bersasar akan menjadi lebih penting untuk memastikan bantuan kewangan yang mampan dan adil bagi rakyat," katanya.
Dalam pada itu, rata-rata pengguna meluahkan kelegaan dengan keputusan kerajaan itu, selepas pengumuman pemberian tol percuma musim perayaan dihentikan sebelum ini.
Saw Jie Sheng, 24, berkata dengan diskaun berkenaan orang ramai dapat berkongsi kegembiraan dan menggunakan kemudahan itu untuk membuat perjalanan bagi menyambut perayaan bersama orang tersayang.
"Langkah kerajaan menawarkan pilihan tol percuma sempena musim perayaan ini amat dihargai. Lebih menggembirakan jika semua sambutan perayaan utama turut menikmati manfaat yang sama," kata penjawat awam itu.
Penuntut Universiti Awam Muhammad Adli Anuar, 23, berkata inisiatif itu sekurang-kurangnya dapat mengurangkan perbelanjaan untuk pulang ke Negeri Sembilan sempena musim cuti nanti.
"Sebagai pelajar, ini memang dapat membantu mengurangkan kos untuk saya pulang ke kampung," katanya.
Seorang lagi pelajar Brayen Gilbert, 21, berkata langkah itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap beban kos sara hidup rakyat, terutamanya mereka yang kerap menggunakan lebuh raya.
"Saya bersyukur dengan diskaun 50 peratus kadar tol ini kerana ia dapat membantu saya berjimat dalam kos perjalanan pulang ke kampung nanti," katanya.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini mengumumkan kerajaan bersetuju memberikan potongan tol 50 peratus sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2025 bagi semua kenderaan Kelas 1 (persendirian) pada 27 dan 28 Jan ini, dengan peruntukan bayaran pampasan kepada syarikat konsesi terlibat dianggar berjumlah RM20.08 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial