Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Harga Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 di pasaran tempatan ditutup rendah apabila jangkaan yang semakin meningkat mengenai langkah rangsangan China seterusnya telah diimbangi oleh penyusutan harga minyak mentah yang menjadi penanda aras.
Peniaga berkata China dilaporkan akan memperkenalkan lebih banyak inisiatif tahun ini.
Langkah itu termasuk meningkatkan penggunaan di samping memperluas skim tukar beli pengguna selepas rangsangan skim barangan pengguna itu melonjakkan pertumbuhan penggunaan sebanyak lebih 1.0 peratus tahun lepas, katanya kepada Bernama.
Beliau berkata sentimen terhadap China turut didorong oleh laporan mengenai cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkaitan kemungkinan perjanjian perdagangan China-AS, beberapa hari selepas ancaman beliau untuk mengenakan tarif 10 peratus ke atas barangan China menjelang 1 Feb, 2025.
Bagaimanapun, harga minyak mengalami penurunan pada Jumaat dan bergerak ke arah penurunan mingguan apabila Trump mahu harga minyak mentah yang lebih rendah dan pengeluaran tenaga lebih tinggi di AS.
“Pasaran niaga hadapan getah Jepun mendatar hari ini berikutan potensi ketegangan perdagangan antara AS dengan pengguna utama, China, telah mengatasi kebimbangan mengenai bekalan yang berkurangan dari Thailand susulan cuaca hujan,” katanya.
Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan harga GMM 20 susut 8.50 sen kepada 891 sekilogram, manakala lateks pukal meningkat tiga sen kepada 681 sen sekilogram.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial