AM

Hubungan Malaysia-China Melangkaui Perdagangan Dan Pelaburan - PM Anwar

25/01/2025 11:48 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- Hubungan Malaysia dan China melangkaui perdagangan dan pelaburan, merangkumi pemahaman dan penghormatan bersama terhadap budaya serta tamadun kedua-dua negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata aspek unik dalam hubungan Malaysia dan China itu perlu dipupuk seiring dengan kerjasama ekonomi.

“Semasa perbincangan saya bersama Presiden Xi Jinping, kami bukan sahaja membincangkan hubungan ekonomi, perdagangan, dan pelaburan, tetapi juga keperluan membina persahabatan ini berdasarkan kepercayaan dan penghormatan bersama.

“Seperti peribahasa Cina mengatakan ‘selepas merentasi gunung dan sungai, kita akan tiba ke sebuah kampung yang dikelilingi pohon willow dan bunga-bungaan’,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sambutan Tahun Baru Cina 2025 yang dianjurkan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dan Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan China.

Anwar berkata penekanan China dalam mempromosikan penghormatan budaya adalah sejajar dengan prinsip keterangkuman Malaysia, yang memastikan setiap rakyat mempunyai tempat di Malaysia.

Beliau berkata perayaan Tahun Baru Cina yang dikenali sebagai Spring Festival di China, merupakan bukti perpaduan masyarakat pelbagai budaya di Malaysia.

“Perayaan ini menyatukan rakyat daripada semua golongan komuniti, budaya dan wilayah di seluruh Malaysia. Ia mencerminkan komitmen kita terhadap keharmonian dan penghargaan bersama.

“Secara bersama, kita telah melangkaui ketidakpastian untuk merangkul masa depan dengan kerjasama yang berkembang pesat dan matlamat yang dikongsi bersama,” kata beliau.

Perdana Menteri turut menekankan inisiatif tempatan seperti persembahan kebudayaan, projection mapping dan pameran kaligrafi di Melaka dan Pulau Pinang, sebagai contoh bagaimana Malaysia meraikan kepelbagaian tradisi.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Kebudayaan dan Pelancongan China Sun Yeli; dan Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan