KUALA LUMPUR, 2 Feb (Bernama) -- Syarikat agrotani tempatan, Tayyib Ranch Sdn Bhd (Tayyib Ranch), yang terkenal dengan pengeluaran daging berkualiti tinggi, memperkenalkan pelan bayaran ansuran bagi membantu keluarga kurang berkemampuan yang ingin melaksanakan ibadah korban, mulai bulan ini.
Jurucakapnya, Mohd Sakhedan Sidek berkata inisiatif itu bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah, termasuk masyarakat Orang Asli yang menghadapi kesukaran untuk membayar sekali gus bagi satu bahagian lembu korban sempena Aidiladha pada Jun ini.
“Sebagai contoh, satu bahagian lembu yang diklasifikasikan sebagai Gred C berharga RM750, termasuk penyembelihan dan pembungkusan.
“Ramai daripada golongan ini menghadapi kekangan kewangan untuk bayar sekali gus ditambah pelbagai lagi perbelanjaan yang perlu diruruskan, jadi melalui pelan tersebut mereka boleh bayar secara ansuran mulai sekarang dan ini akan meringankan beban kewangan mereka,” katanya.
Beliau menambah pembeli juga dialu-alukan untuk melawat ladang syarikat tersebut di Kampung Sungai Kelambu, Banting, Selangor bagi melihat malah berpeluang memberi makan lembu.
“Lembu kami diberi makanan berkhasiat seperti pelet, pelet soya, jagung, pollard putih, dan rumput napier untuk memastikan dagingnya berkualiti tinggi. Semua lembu ini juga divaksin dan dalam keadaan sihat,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Tahun ini, syarikat tersebut telah menyediakan 1,000 ekor lembu untuk pelanggan yang memilih pelan ansuran berkenaan. Mereka yang berminat boleh menghubungi bahagian pentadbiran syarikat itu 013-2314711 atau 013-2374711 untuk maklumat lanjut.
Tahun lepas, Tayyib Ranch mengagihkan daging percuma pada Aidiladha untuk membantu keluarga berpendapatan rendah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial