KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15.
Ini merupakan istiadat pembukaan Parlimen kedua oleh Sultan Ibrahim, selepas mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan 2024.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di Dewan Rakyat kira-kira 10.10 pagi diiringi Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, barisan jemaah menteri dan ketua perwakilan asing turut menghadiri istiadat berkenaan.
Sejurus tiba, Perdana Menteri mempersembahkan Titah Diraja kepada Yang di-Pertuan Agong untuk Seri Paduka Baginda menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15.
Istiadat berkenaan turut disiarkan secara langsung menerusi saluran media rasmi, televisyen tempatan dan platform dalam talian.
Berdasarkan takwim di laman sesawang rasmi Parlimen, selain pembentangan usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja, persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung selama 18 hari turut menyaksikan Ahli Parlimen akan mengambil bahagian dalam perbahasan usul itu selama tujuh hari mulai 4 Feb.
Sidang Parlimen kemudian diteruskan dengan sesi jawapan oleh menteri berkaitan pada 19 hingga 25 Feb.
Takwim itu turut menyenaraikan sesi pembentangan rang undang-undang (RUU) dan urusan kerajaan yang lain akan berlangsung pada enam hari terakhir persidangan bermula 26 Feb.
Persidangan Dewan Negara pula akan berlangsung selama 13 hari bermula 3 Mac.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial