KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia susut ketika mengakhiri sesi dagangan pagi Isnin yang turut mencerminkan prestasi lemah pasaran global susulan aktiviti jualan ketara di Wall Street serta sentimen negatif yang berlanjutan berkaitan pasaran hadapan Amerika Syarikat (AS) berikutan rancangan tarif Presiden Donald Trump.
Pada 12.30 tengah hari, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kehilangan 4.54 mata kepada 1,552.38 daripada paras 1,556.92 yang dicatatkan pada Jumaat lepas.
Indeks penanda aras itu yang dibuka susut 9.36 mata kepada 1,547.56, turut bergerak dalam julat 1,546.68 hingga 1,556.74 pada sesi berkenaan.
Kaunter untung mengatasi rugi di pasaran meluas iaitu 536 berbanding 297 manakala 408 kaunter tidak berubah, sebanyak 1,053 tidak diniagakan dan 15 lain digantung dagangannya.
Dalam nota penyelidikannya hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata Wall Street ditutup rendah selepas Trump membuat kenyataan mengenai tarif ke atas Kanada, Mexico dan China.
“Berikutan itu, pelabur berkemungkinan berganjak ke arah sektor yang berdaya tahan seperti amanah pelaburan hartanah kerana ciri-ciri ketahanan itu serta prestasi sukuan yang kukuh susulan pendapatan bersih hartanah yang tinggi,” kata firma pembrokeran itu.
Pada minggu ini, kalangan pedagang akan mengikuti rapat data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) bukan pembuatan, tuntutan awal pengangguran dan kadar pengangguran AS.
“Di pasaran komoditi, minyak mentah Brent diniagakan pada harga hampir US$76 setong manakala harga emas ke arah paras tertinggi US$2,817 (satu auns) sebelum ditutup di bawah tanda aras US$2,800,” katanya.
Di peringkat serantau, Indeks Hang Seng Hong Kong turun 0.74 peratus kepada 20,075.95, Indeks Straits Times Singapura susut 0.29 peratus pada 3,844.55, Kospi Korea Selatan merosot 3.07 peratus kepada 2,439.97 dan Nikkei 225 menguncup 2.85 peratus kepada 38,446.10.
Maybank yang susut lapan sen kepada RM10.26, mendahului kaunter rugi dalam konstituen FBM KLCI.
Petronas Chemicals turun sembilan sen kepada RM4.56, Sime Darby berkurangan enam sen kepada RM2.19, YTL Power International susut lapan sen kepada RM3.05 manakala YTL Corporation rugi lima sen kepada RM1.86.
Bagi saham aktif, Compugates menokok setengah sen kepada 1.5 sen, Kinergy Advancement mendatar pada 33 sen, MAG naik satu sen kepada 21 sen, waran JF Technology turun satu sen kepada 11 sen dan Supermax meraih lapan sen kepada RM1.15.
Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas turun 23.30 mata kepada 11,860.41, Indeks FBMT 100 meraih 20.44 mata kepada 11,555.46, Indeks FBM Emas Shariah susut 17.27 mata kepada 11,719.86 manakala Indeks FBM ACE berkurangan 27.88 mata kepada 5,167.19.
Indeks FBM 70 menokok 18.86 mata kepada 17,605.88.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 1.61 mata kepada 7,343.99 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 33.43 mata kepada 18,820.92, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menguncup 0.85 mata kepada 164.52 dan Indeks Tenaga kehilangan 5.26 mata kepada 818.06.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial