PUTRAJAYA, 3 Feb (Bernama) -- Agenda reformasi pendidikan yang direncanakan Kementerian Pendidikan (KPM) sedang giat berjalan di setiap peringkat bagi memastikan bidang pendidikan negara kekal relevan serta dapat menangani cabaran semasa dengan tuntas.
KPM dalam kenyataan memaklumkan agenda itu memberi penumpuan kepada enam fokus utama iaitu digital; bahasa; literasi; Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM); Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET); serta prasekolah.
"Tumpuan KPM tahun ini terarah kepada pelan pembangunan pendidikan yang baharu bagi menggantikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dan persediaan bagi kurikulum persekolahan 2027.
"Program Generasi Madani (GenMADANI) pula dilaksanakan di sekolah-sekolah sebagai wadah untuk memupuk perpaduan serta membina karakter bangsa Malaysia yang beradab, berakhlak dan berintegriti," menurut kenyataan itu hari ini.
Kenyataan berkenaan dikeluarkan sebagai menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara di sini hari ini.
Pada istiadat itu, Sultan Ibrahim bertitah langkah kerajaan melaksanakan agenda reformasi pendidikan, latihan teknikal dan vokasional serta pembangunan belia mampu melahirkan generasi masa depan yang lebih berkualiti.
KPM dalam kenyataan itu memaklumkan akan terus berusaha untuk memastikan titah Seri Paduka Baginda dilaksanakan demi penambahbaikan pendidikan negara dan kesejahteraan rakyat.
Menurut kenyataan itu KPM sentiasa proaktif meningkatkan infrastruktur pendidikan bagi memastikan akses pendidikan yang berkualiti kepada semua murid.
Menerusi Belanjawan 2025, Kerajaan MADANI meluluskan pembinaan 44 buah sekolah, 11 Pusat PERMATA yang dilengkapi dengan pusat didikan anak-anak autistik serta dua sekolah baharu bagi murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK).
"Sejumlah RM2 bilion diperuntukkan untuk projek naik taraf dan penyelenggaraan sekolah seluruh negara merangkumi RM1 bilion untuk menyelenggara semua jenis sekolah termasuk institusi pendidikan KPM.
"Jumlah RM1 bilion lagi untuk menaik taraf dan pembangunan semula bangunan daif di sekolah terutamanya di Sabah dan Sarawak," menurut kenyataan itu dengan sebanyak RM100 juta turut diperuntukkan untuk membaik pulih kemudahan kantin dan surau di sekolah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial