DUNIA

Pasaran Getah Ditutup Tinggi

03/02/2025 06:17 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) --  Pasaran getah ditutup tinggi pada Isnin, disokong oleh harga penanda aras minyak mentah yang stabil dan kelemahan ringgit berbanding dolar US, kata seorang peniaga.

Beliau berkata keyakinan terhadap langkah-langkah rangsangan dijangka dilaksanakan oleh China meningkatkan pasaran sementara hujan berterusan di kawasan pengeluar getah asli utama memberikan sokongan tambahan kepada harga.

“Pengawal selia pasaran kewangan tertinggi China berkata pada Sabtu lepas bahawa menstabilkan pasaran, keyakinan dan jangkaan adalah keutamaan kerana kerajaan berusaha untuk menyediakan akses lebih baik kepada modal untuk teknologi terkemuka.

“Bagaimanapun, keuntungan dihadkan oleh dagangan lengang dalam pasaran niaga hadapan getah serantau berikutan cuti panjang Tahun Baharu Cina dan pengumuman tarif perdagangan terkini Amerika Syarikat (AS),” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata niaga hadapan getah Jepun diniagakan dalam jajaran kecil pada Isnin apabila pelabur mengambil kira masalah bekalan dan mata wang yen yang lebih lemah disebalik kebimbangan perang perdagangan global selepas pentadbiran Donald Trump mengenakan tarif ke atas China, Mexico dan Kanada.

Pada 5 petang, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi SMR 20 fizikal naik 20 sen sekilogram kepada 904 sen sekilogram manakala lateks pukal melonjak 8.5 sen kepada 685.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan