AM

26 Kampung Terjejas Banjir Di Kinabatangan

04/02/2025 08:03 PM

KINABATANGAN, 4 Feb (Bernama) -- Sebanyak 26 kampung di sini terjejas banjir susulan cuaca hujan berterusan di bahagian hulu yang mengakibatkan paras air sungai meningkat.

Pegawai Daerah Kinabatangan Willey Lampaki berkata setakat ini dua pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka bagi menempatkan 140 mangsa daripada 36 keluarga.

Beliau berkata kawasan yang terjejas terdiri daripada 12 kampung di Lamag dan 14 kampung di Sukau.

“PPS Sekolah Agama Negeri Pekan Bukit Garam dibuka bagi menempatkan 102 mangsa daripada 27 keluarga manakala PPS Sekolah Kebangsaan Sukau menempatkan 38 mangsa daripada sembilan keluarga,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, mangsa banjir Maskini Johaini, 28, dari Kampung Sukau Seberang berpindah ke PPS selepas rumahnya dinaiki air hingga paras betis pada 10 pagi tadi.

"Sebelum ini banjir hanya di halaman dan tidak pernah masuk ke dalam rumah. Kami setiap masa meninjau paras air dan sempat memindahkan barang ke kawasan tinggi sebelum paras air semakin meningkat. 

"Pihak berkuasa menyarankan kami berpindah awal ke PPS untuk keselamatan kerana kami ada anak-anak kecil selain bimbang dengan kehadiran haiwan berbisa dan buas," katanya. 

Maskini yang dalam tempoh berpantang selepas bersalin anak ketiga bulan lepas, turut berterima kasih kepada pihak berkuasa yang terlibat membantu dalam operasi menyelamat mangsa banjir.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan