WASHINGTON, 5 Feb (Bernama-dpa) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Selasa mengarahkan kajian semula mengenai penglibatan dan pembiayaan negara itu dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Perintah eksekutif itu akan menyaksikan AS menarik diri daripada Majlis Hak Asasi Manusia PBB serta Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA).
Kajian semula juga akan dilakukan terhadap penglibatan AS dalam Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO).
Trump berkata PBB mempunyai potensi besar, namun mendakwa ia "tidak diurus dengan baik".
"Terdapat harapan besar terhadapnya (PBB), tetapi secara jujurnya, ia tidak diurus dengan baik dan tidak menjalankan tugasnya.
"Sebahagian besar konflik yang sedang kita usahakan sepatutnya telah diselesaikan, atau sekurang-kurangnya kita sepatutnya menerima bantuan untuk menyelesaikannya.
“Tetapi kita tidak pernah mendapat bantuan. Itu sepatutnya menjadi tujuan utama PBB," katanya kepada pemberita selepas menandatangani arahan berkenaan.
Pembiayaan AS kepada UNRWA digantung pada 2024 semasa pentadbiran Joe Biden selepas kerajaan Israel mendakwa 12 kakitangan agensi itu terlibat dalam serangan 7 Okt 2023, selain menuduh badan itu dipengaruhi Hamas.
Bagaimanapun, audit bebas kemudian menolak dakwaan itu dengan menyatakan tiada bukti yang menyokong tuduhan berkenaan serta menegaskan bahawa UNRWA mewujudkan mekanisme kukuh bagi mengekalkan prinsip berkecuali.
Trump sebelum ini memotong pembiayaan kepada UNRWA pada 2018, sebelum Biden memulihkannya pada 2021.
-- BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial