KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Malaysia menyumbang US$200,000 kepada Unit Timor-Leste, yang akan beroperasi di Sekretariat ASEAN di Jakarta, Indonesia untuk membantu dan memudahkan proses pelaksanaan Pelan Hala Tuju Keanggotaan Penuh Timor-Leste ke ASEAN.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Malaysia akan memimpin usaha mempercepat dan mempermudah pelaksanaan pelan hala tuju itu, terutama dalam aspek yang melibatkan 88 Instrumen Undang-Undang serta perjanjian ASEAN yang perlu disertai oleh Timor-Leste.
“Daripada jumlah tersebut, 69 perjanjian dan instrumen berada di bawah tonggak Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), 13 di bawah Komuniti Keselamatan Politik ASEAN (APSC), serta enam lagi dalam Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC).
“Semasa di Vientiane, Malaysia cadangkan agar tidaklah perlu Timor-Leste penuhi 88 instrumen ini, penuhi 20 hingga 30 peratus pun memadai, kita bagi tempoh supaya penuhi perlahan-lahan untuk dapat kita serap atau jadikan sebagai rakan ASEAN tetap pada tahun ini,” katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berhubung peranan Malaysia dalam proses keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN dan inisiatif strategik memperkukuh pembangunan kapasiti negara itu.
Mohamad berkata sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia akan memastikan keanggotaan Timor-Leste menjadi salah satu keutamaan dalam mesyuarat-mesyuarat ASEAN, termasuk Sidang Kemuncak ASEAN.
Beliau berkata Timor-Leste telah memohon untuk menyertai ASEAN sejak 2011 dan ASEAN secara berperingkat telah menilai serta membantu negara itu memenuhi syarat keanggotaan penuh.
Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 di Phnom Penh pada November 2022, ASEAN secara prinsip bersetuju menerima Timor-Leste sebagai anggota ke-11, tertakluk kepada pemenuhan kriteria dalam Pelan Hala Tuju Keanggotaan Penuh, katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial