AM

Empat Sahabat Kemalangan Tidak Sempat Hadir Kenduri Di Besut

08/02/2025 07:25 PM

KUALA KRAI, 8 Feb (Bernama) -- Hasrat empat sahabat untuk menghadiri majlis kenduri rakan mereka di Besut, Terengganu, tidak kesampaian apabila dua daripada mereka maut manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan di Jalan Kuala Krai-Gua Musang, dekat Sungai Sam, petang semalam.

Mangsa yang meninggal dunia ialah Muhamad Hakim Mohd Razid dan Siti Nabila Draman manakala Siti Nor Najihah Yassin serta Nurul Adila Sulaiman cedera parah. Kesemua mereka berusia 27 tahun.

Dalam kejadian itu, kenderaan Perodua Axia yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan termasuk Honda City dan lori lima tan.

Kakak kepada Siti Nor Najihah, Eminursurati Yassin, 29, berkata dia mengetahui mengenai kejadian itu menerusi panggilan telefon daripada ayahnya, Yassin Samsudin pada 7 malam tadi.

“Ketika itu saya sedang bekerja, terkejut apabila ayah memberitahu adik bersama rakannya terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke Terengganu,” katanya ketika ditemui Bernama di Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra, di sini hari ini.

Sebaik menerima berita itu, Eminursurati bersama ibu dan ayahnya segera bertolak dari rumah mereka di Bangi, Selangor sebelum tiba di hospital berkenaan pada 6.30 pagi.

“Sekarang adik saya masih tidak sedarkan diri dan ditahan di Unit Rawatan Rapi akibat kecederaan di kepala serta patah paha kanan.

“Kami hanya ada dua beradik. Sebelum bertolak, adik bersalam dan memeluk ibu. Malah, ibu sempat menghantar mesej WhatsApp kepadanya pada 3 petang sebelum kejadian, tetapi tidak dibalas,” katanya sebak.

Sementara itu, Yassin berkata anak dan rakannya dalam perjalanan ke majlis kenduri sahabat mereka ketika menuntut di Universiti Malaysia Pahang (UMP).

“Pasangan suami isteri, Muhamad Hakim dan Nurul Adila (mangsa yang meninggal dunia) sempat bermalam di rumah saya selepas tiba dari Sarawak sebelum mereka bertolak ke Terengganu pukul 8 pagi semalam (Jumaat).

“Saya sempat berbual dengan Muhamad Hakim, dia bertanya mengenai jarak perjalanan dari Bangi ke Terengganu. Saya sempat menasihatinya supaya berhati-hati ketika memandu,” katanya.

Yassin berkata dia mendapat berita mengenai kemalangan itu melalui panggilan telefon daripada penduduk setempat kira-kira pukul 4.30 petang semalam.

“Saya terkejut kerana anak saya tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sebelum ini. Namun, saya reda kerana kejadian ini sudah tertulis,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan