KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak menunjukkan pengurangan manakala Sabah kekal, setakat 8 malam ini.
Di SARAWAK jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 3,082 orang berbanding 3,454 orang sebelum ini dengan tiga lagi PPS iaitu SMK Sebauh dan SMK Bekenu di Bahagian Miri serta Kompleks Sukan Kanowit di Bahagian Sibu ditutup menjadikan 16 PPS masih beroperasi setakat ini.
Bintulu mencatatkan penurunan jumlah mangsa kepada 1,775 orang berbanding 1,836 sebelum ini manakala mangsa di Mukah kekal 607 mangsa, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak.
Penurunan jumlah mangsa agak ketara di Sibu apabila mangsa di PPS hanya 429 orang berbanding 737 petang tadi manakala di Miri pula berkurangan kepada 271 orang berbanding 274 sebelum ini.
Di SABAH, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan walaupun jumlah mangsa banjir kekal 721 daripada 212 keluarga setakat 8 malam ini, ia dijangka meningkat berikutan satu lagi daerah dilanda banjir.
Menurut kenyataan itu, daerah Membakut mengalami banjir 3 petang tadi melibatkan lima buah kampung yang terjejas.
"Kini proses pemindahan mangsa ke PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Membakut," menurut kenyataan itu.
Sebanyak 430 orang (137 keluarga ditempatkan di tiga di PPS Beaufort, 278 orang (71 keluarga) di dua PPS daerah Kinabatangan dan 13 orang daripada empat keluarga di Tambunan, menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial