AM

P.Pinang Yakin Pengunjung Dari India Meningkat Thaipusam Tahun Depan

10/02/2025 11:29 AM

GEORGE TOWN, 10 Feb (Bernama) -- Dengan pelan dan perancangan strategik, Pulau Pinang yakin akan menerima kedatangan pengunjung berlipat ganda dari India sempena sambutan Thaipusam tahun hadapan. 

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata perancangan strategik itu juga bakal menyaksikan pertumbuhan signifikan dalam sektor pelancongan sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan negeri sebagai destinasi pelancongan warisan di mata dunia.

“Hasil kerja keras kerajaan negeri dalam mewujudkan penerbangan terus antara Chennai, India dengan Pulau Pinang pada tahun lalu membuahkan hasil apabila peningkatan kedatangan pelancong dari India sebanyak 51.43 peratus telah direkodkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

“Selain daripada memfokuskan pada sektor pembuatan, pelaburan dan perniagaan serta agroteknologi, Pulau Pinang juga bersiap sedia dan teruja dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 lebih-lebih lagi apabila Pulau Pinang dipromosikan sebagai lokasi pelancongan warisan,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Thaipusam hari ini.

Beliau berkata saban tahun Thaipusam disambut dengan meriah seperti perayaan lain dengan pelancong dari dalam dan luar negara akan berada di negeri itu selain penganut Hindu.

Chow menyifatkan situasi tersebut mencerminkan Pulau Pinang sebagai ikon perpaduan yang meraikan kepelbagaian kaum dan agama meskipun dalam arus pembangunan pesat, tradisi warisan serta budaya terus subur dan mekar bersama.

Mengambil semangat perayaan Thaipusam yang meraikan semangat kebaikan menentang kebatilan, beliau berkata Pulau Pinang yang mengutamakan kemaslahatan dan kepentingan rakyat telah melaksanakan pelbagai inisiatif.

Katanya ia bagi memantapkan kedudukan ekonomi serta pembangunan sosial dalam kalangan rakyat termasuk masyarakat India dengan adil, saksama serta progresif iaitu dengan memastikan tiada pihak yang ditinggalkan dalam arus pemodenan dunia yang tidak terkejar.

“Semoga sambutan Thaipusam disambut dengan penuh keimanan, kesyukuran, rendah hati dan perpaduan,” katanya.

Penganut Hindu akan menyambut Thaipusam esok bagi memperingati peristiwa Dewa Murugan menerima lembing suci daripada ibunya Dewi Parvati bagi menghapuskan kuasa jahat Soorapadman dan mengembalikan kemakmuran serta kesejahteraan manusia.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan