PUTRAJAYA, 10 Feb (Bernama) -- Aspek jenayah rentas sempadan dan jenayah siber antara tumpuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sepanjang berlangsungnya Kepengerusian ASEAN 2025, kata Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Bercakap kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi bulan Februari 2025, di sini hari ini, beliau berkata KDN akan terlibat dalam kluster keselamatan merangkumi 10 agenda utama yang akan menjadi panduan dalam semua mesyuarat di peringkat pegawai, pegawai kanan dan kementerian.
“Antara yang menjadi fokus kita ialah perkara tentang jenayah rentas sempadan yang melibatkan perkongsian maklumat risikan, peningkatan kapasiti dan operasi bersama.
“Kalau bercakap tentang jenayah rentas sempadan, kita akui hakikat, kita sendiri atau mana-mana individu negara ASEAN tidak akan mampu selesaikan bersendirian. Kita kena ada jalinan kerjasama (serantau),” katanya.
Saifuddin Nasution berkata jenayah siber, termasuk penipuan dalam talian menunjukkan trend peningkatan yang mendadak bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat global.
“Kerana itu mesyuarat ASEAN dalam kluster keselamatan ini tidak akan jadi lengkap kalau tajuk ini tidak ikut diteliti oleh negara anggota ASEAN,” katanya.
Beliau berkata Mesyuarat Menteri-Menteri Keselamatan ASEAN dijadualkan berlangsung di Melaka September ini.
Malaysia secara rasmi mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN 2025 pada 1 Jan, kali kelima sejak penubuhan ASEAN pada 1967.
Malaysia sebelum ini pernah menjadi Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial