KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Muzium Sains, Seni dan Inovasi Kanak-Kanak (MoSAIC) yang dibuka pada 1 Feb lepas, menawarkan pengalaman pembelajaran interaktif kepada kanak-kanak berusia empat hingga 17 tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengasas MoSAIC Fiza Zin berkata menggabungkan konsep kreativiti, permainan dan penerokaan, MoSAIC yang diasaskan bersama Karimah Koh Siow Kien menawarkan pengalaman pembelajaran, permainan dan kreativiti yang holistik serta inklusif kepada kanak-kanak.
“Kami bukan hanya mencipta muzium, tetapi juga membina ruang agar kanak-kanak dan keluarga boleh bersama-sama mencipta, meneroka, dan bermimpi tentang masa depan ibu negara dalam persekitaran pembelajaran yang bersifat praktikal dengan zon interaktif.
“Ia direka untuk memupuk rasa ingin tahu, pemikiran kritikal, dan ekspresi kreatif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zon interaktif yang diwujudkan antaranya Ruang Bermain, Junior Makerspace, Zon Literasi, Aktiviti STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), Galeri Seni Kanak-Kanak dan Seni Persembahan serta Kantin Mesra Kanak-Kanak
“Program SCALE-IT turut diperkenalkan yang merangkumi Sains, Budaya, Seni, Literasi, Keusahawanan, Inovasi dan Teknologi dengan menawarkan pelbagai program, antaranya bengkel fotografi jalanan dan aktiviti keusahawanan bagi merangsang kreativiti serta keterlibatan kanak-kanak dalam pembangunan bandar,” katanya.
Terletak di kawasan strategik di pusat bandar Kuala Lumpur, di Presint Sivik dan Warisan, muzium itu mudah diakses dengan menaiki pengangkutan awam dan ia dibuka setiap Rabu hingga Ahad dari 9 pagi hingga 5.45 petang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial